BANGI, 8 Syaaban 1438H, Jumaat – Cadangan beberapa pihak supaya sekolah tahfiz ditutup bagi mengelak kejadian seperti yang berlaku terhadap seorang pelajar di Johor baru-baru ini, ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar.
Itulah ironinya, hanya apabila institusi Islam terbabit dalam suatu perkara, tidak sepatutnya keseluruhan institusi diganyang. Hal demikian tidak berlaku jika kesilapan dilakukan institusi yang tidak menggalas nama Islam, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Sebagai tamsilan, katanya, apabila berlaku kemalangan maut tidak lama dahulu yang membabitkan banyak nyawa, tidak pula ada pihak menyarankan supaya lebuh raya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau Jabatan Kerja Raya, ditutup.
Sambil merakamkan dukacita atas kematian pelajar tahfiz di Johor itu, Zainul berkata, beliau tidak berhasrat membela orang yang melakukan perbuatan tidak wajar itu, sekolah tahfiz, mahupun keluarga mangsa kerana beliau percaya proses undang-undang akan mengambil tempat.
“Kenapa dalam aspek yang sama sebegini saranan penambahbaikan tidak diberi laluan kepada institusi Islam? Bagi penulis, kesalahan yang berlaku bukanlah kesalahan organisasi tetapi individu atau pelaksanaannya sahaja.
“Oleh itu tumpuan mestilah diberikan terhadap menambah baik dan memurnikan piawaian ataupun prosedur bagi mengelakkan kesilapan berlaku.
“Memang telah menjadi rahsia yang terbuka walaupun negara telah hampir enam dasawarsa mencapai kemerdekaan, institusi Islam khususnya sekolah agama bukanlah menjadi tumpuan untuk diberikan dana berpadanan,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Zainul yang merupakan bekas pelajar sekolah agama dan merasai pahit getirnya mengakui terdapat pelbagai kekurangan dan kekangan dihadapi institusi pendidikan Islam seluruh tanah air, termasuk dari segi kekurangan dana, guru terlatih, buku dan peralatan.
“Namun begitu, pengurusan sekolah berhempas pulas dalam kekurangan tersebut, tekun menghasilkan pelajar yang pada suatu hari nanti akan menjadi pemimpin beriman dan bertakwa.
“Oleh itu, jika kita hanya menghambur kesalahan kepada sekolah sahaja, ia amatlah tidak adil kerana mereka tidak dapat bersaing dengan sekolah-sekolah lain dalam persaingan yang adil. Malah, aspek pemantauan oleh pihak berwajib juga amatlah kurang sehingga menjadikan apa yang lazim dilakukan itu dinilai sebagai perkara betul tanpa apa-apa penambahbaikan,” katanya.
The post Beri peluang institusi Islam buat penambahbaikan, bukan kecam, minta tutup: Zainul Rijal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Beri peluang institusi Islam buat penambahbaikan, bukan kecam, minta tutup: Zainul Rijal
0 Komentar untuk "Beri peluang institusi Islam buat penambahbaikan, bukan kecam, minta tutup: Zainul Rijal"