Oleh Zabidi Hj Azhar, Wartawan Isma cawangan Klang
KLANG, 11 Syaaban 1438H, Isnin – Bapa kepada dua pemain catur yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania baru-baru ini bercita-cita menjadikan semua anaknya mencapai tahap Grandmaster dalam sukan itu.
Salihin Ahmad, 45, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Salihin berkata, banyak negara maju seperti Rusia dan Romania telah menjadikan sukan catur ini sebagai kerjaya profesional, namun negara kita masih belum sampai ke tahap itu.
Beliau berkata demikian ketika lawatan Pemuda Isma Klang di kediamannya di Kampung Sungai Udang pada minggu lepas.
Lawatan diketuai Ketua Pemuda Klang, Anas Hj Adnan itu turut disertai beberapa ahli jawatankuasa Isma cawangan Klang yang lain.
Cikgu Salihin juga berkongsi pengalamannya mendidik anak-anak supaya meminati sukan itu sejak kecil.
“Saya selalu berpesan kepada anak-anak, kamu main untuk kalah. Daripada kekalahan itu kamu akan belajar sesuatu untuk menjadi pemenang. Apabila mereka sudah tahu bermain, minat itu akan timbul dengan sendirinya,” katanya lagi.
Dua anak Cikgu Salihin, Nur Anisah Salihin, 17 dan Afiqah Zahra Salihin, 7 telah menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu dan Afiqah telah berjaya mendapat tempat kelima dunia kategori Perempuan Bawah Tujuh Tahun selepas seri dua kali di pusingan akhir.
Kejayaan anak Cikgu Salihin juga telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjemput mereka sekeluarga untuk diraikan di Bangunan Putra Perdana di Putrajaya minggu lepas.
Bagi membolehkan anak-anaknya menyertai pertandingan di Romania itu, Cikgu Salihin telah menjual rumah yang dimilikinya sejak 17 tahun lalu bagi menampung kos perbelanjaan setelah tiada penajaan diterima daripada mana-mana pihak.
Anas selaku ketua lawatan mengucapkan tahniah kepada Cikgu Salihin sekeluarga atas kejayaan yang dicapai.
“Pemuda Isma Klang sentiasa mengemas kini berita-berita pertandingan anak Cikgu Salihin dan kita amat menyokong perjuangan mereka sekeluarga bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.
Sepanjang 9 hari pertandingan, Pemuda Isma Klang telah mengemas kini perkembangan dan telah menulis beberapa artikel berkenaan jaguh catur cilik negara di blog dan laman Facebook sebagai tanda sokongan.
The post Cikgu Salihin mahu anak capai tahap Grandmaster catur appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Cikgu Salihin mahu anak capai tahap Grandmaster catur
0 Komentar untuk "Cikgu Salihin mahu anak capai tahap Grandmaster catur"