KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1438H, Isnin – MSM Malaysia Holdings Bhd masih berbincang dengan kerajaan untuk menaikkan harga gula 29 sen lagi sekilogram bagi memastikan keuntungan syarikat tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, turun naik harga gula mentah serta prestasi lemah ringgit menjadikan tahun ini sangat mencabar.
“Berikutan turun naik harga gula mentah, kerajaan perlu meningkatkan harga jualan 40 sen sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan MSM Malaysia di sini, hari ini.
MSM, anak syarikat 51 peratus milik FGV, adalah pengeluar gula halus terkemuka Malaysia.
Kerajaan telah menaikkan harga gula tempatan sebanyak 11 sen sekilogram kepada RM2.95 sekilogram pada 1 Mac 2017, walaupun MSM telah meminta kenaikan 40 sen sebelum itu.
“Kami masih berbincang dengan kerajaan untuk mendapatkan 29 sen yang sepatutnya kami peroleh, tetapi kami juga tahu kerajaan mempunyai kesukaran mengenainya.
“Bagaimanapun kami bertuah yang harga gula mentah telah merosot kepada US$0.155 sepound sekarang ini berbanding US$0.22 sepound pada November dan Disember tahun lepas.
“Jika harga gula mentah naik, ia akan menjadi sangat sukar untuk kami,” katanya.
Menurutnya, harga gula di Malaysia antara yang terendah di rantau ASEAN.
“Malah Thailand yang menjadi pengeluar gula mentah dan gula menjual produk tersebut pada harga lebih tinggi daripada kita,” katanya.
Mengenai kilang penapis gula MSM di Tanjung Langsat, Zakaria berkata, kilang itu yang 45 peratus siap, dijangka memulakan operasi pada suku pertama 2018.
“Pengeluaran di kilang berkenan akan membolehkan kami mengembangkan destinasi eksport kami ke Singapura dan Indonesia,” katanya dengan menambah syarikat itu kini mengeksport produknya ke Timur Tengah dan Afrika Utara.
Beliau berkata, setakat ini kilang penapis itu telah menggunakan RM400 juta daripada sejumlah US$259 juta (US$1= RM4.33) perbelanjaan modal yang ditetapkan tahun lepas.
“Kami akan pastikan pembinaan itu dalam lingkungan bajet,” katanya.
Kilang penapis gula Tanjung Langsat ialah kemudahan pemprosesan ketiga MSM di Malaysia dengan kapasiti tahunan satu juta tan metrik.
Dua kilang gula lain ialah di Prai, Pulau Pinang yang mampu memproses 3,000 tan metrik sehari dan di Chuping, Perlis, yang mempunyai kapasiti harian 600 tan metrik. – Bernama
The post Harga gula mungkin naik 29 sen appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Harga gula mungkin naik 29 sen
0 Komentar untuk "Harga gula mungkin naik 29 sen"