Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 28 Syaaban 1438H, Khamis – Rakyat diingatkan supaya berhenti mengundi Barisan Nasional (BN), khususnya Datuk Seri Najib Razak jika serius menolak rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran negara, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Bila tubuh kerajaan baharu nanti, insya-Allah, hari ini kita menang, esok kita akan mansuhkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan mulakan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sesiapa sahaja yang kita dapati terlibat dan bersalah, apabila sabit dihukum di mahkamah, kita humban mereka masuk ke penjara. Tiada siapa terkecuali, tidak kira perdana menteri atau isteri perdana menteri,” katanya.
Katanya, kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan hari ini hanya dapat dihentikan kuasa rakyat menerusi proses demokrasi iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Kita perlu bersatu bawa pembaharuan untuk selamatkan negara dan tekad mahu letak orang baru sebagai Perdana Menteri dan kerajaan negara. Maka apa mesej yang kita sampaikan adalah undi kita itu menolak rasuah, tidak mahu kerajaan yang salah guna kuasa, pemimpin yang songlap wang rakyat dan menyeleweng duit rakyat,” katanya berucap pada program Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia di ibu negara, semalam.
Sebaliknya, kata bekas Menteri Besar Kedah itu, jika Najib dan kerajaan BN masih diberi kuasa memimpin negara, ia bermakna rakyat merestui penyelewengan dan salah laku beliau sepanjang tempoh pentadbirannya.
“Tiba musim pilihan raya tidak kira bila ia diadakan, sebelum masuk bilik undi pejamlah mata dan ingat wajah anak-anak kita sebelum membuat pilihan. Hanya dengan proses demokrasi sahaja dapat menyelesaikan masalah negara. Tiada cara lain selagi negara mengamalkan demokrasi dan diharap ia kekal sampai bila-bila,” katanya.
Malah, beliau menyeru rakyat supaya memberi peluang kepada parti itu dan juga gabungan pembangkang lain mengambil alih dan mentadbir negara meskipun mengakui kerajaan hari ini (BN) belum pernah ditewaskan sejak negara merdeka lagi.
The post Henti undi BN, Najib bermakna rakyat tolak rasuah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Henti undi BN, Najib bermakna rakyat tolak rasuah
0 Komentar untuk "Henti undi BN, Najib bermakna rakyat tolak rasuah"