SEPANG, 19 Syaaban 1438H, Selasa – Ketua Pengarah Imigresen,Datuk Seri Mustafar Ali mempertahankan bahawa memang wujud kerjasama antara Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti perkongsian maklumat sehingga menyebabkan penahanan dua pegawai Imigresen Padang Besar, Perlis baru-baru ini.
Mengakui terkejut dengan kenyataan Pengarah SPRM Kedah yang seolah-olah menafikan sumbangan jabatan itu dalam kes berkenaan, Mustafar berkata, beliau sebagai bekas ‘orang kanan’ SPRM telah berjumpa Pengarah Perisikan SPRM dan pegawai berkaitan bagi berkongsi maklumat.
“Ini perkongsian antara ibu pejabat Jabatan Imigresen dengan ibu pejabat SPRM, ia prosedur biasa…di peringkat negeri mungkin beliau tidak tahu,” katanya mengulas kenyataan Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad yang dilaporkan hairan dengan kenyataan Mustafar bahawa Jabatan Imigresen membekalkan maklumat risikan kepada suruhanjaya itu sehingga tertangkapnya dua pegawai Imigresen tersebut.
Mohd Fauzi juga dilaporkan berkata, penahanan dua individu berusia 34 dan 37 tahun di Alor Setar dan di Perlis pada Isnin lepas, dalam kes rasuah membabitkan lebih RM27 juta itu dilakukan atas usaha Unit Risikan SPRM Kedah dengan kerjasama Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Kenyataan Mohd Fauzi itu dibuat sebagai reaksi susulan kenyataan Mustafar yang menyatakan penahanan dua pegawai kanan Imigresen Padang Besar itu dilakukan hasil maklumat daripada Jabatan Imigresen sendiri yang menyalurkan maklumat risikan dan semakan dalaman kepada SPRM.
Mustafar pada sidang media sempena perasmian penjenamaan semula Kaunter Visa Ketibaan (VOA) dan ‘Join Ship’ di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini, berkata ibu pejabat SPRM telah menyatakan kesediaan untuk menjelaskan mengenai kenyataan yang dibuat Pengarah SPRM Kedah itu
Katanya, beliau dan Mohd Fauzi juga telah bersetuju untuk bertemu dalam masa terdekat bagi memperbetulkan kekeliruan yang timbul.- Bernama
The post Imigresen ada kongsi maklumat dengan SPRM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Imigresen ada kongsi maklumat dengan SPRM
0 Komentar untuk "Imigresen ada kongsi maklumat dengan SPRM"