Gema Semua Maklumat

Jangan salahkan Imigresen tangkap pati: Ketua Pengarah

Jangan salahkan Imigresen tangkap pati: Ketua Pengarah

PUTRAJAYA, 5 Syaaban 1438H, Selasa – Jabatan Imigresen meminta majikan tidak menyalahkan mereka kerana menahan pekerja yang melakukan kesalahan, kerana ia adalah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, tegas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Sebaliknya, Mustafar mahukan majikan lebih matang dan sedar mereka sendiri melakukan kesalahan dan harus bersedia menerima akibat daripada keputusan mereka.

“Jabatan Imigresen tidak akan berhenti setakat menahan warga asing yang melakukan kesalahan, malah akan menyiasat dengan lebih lanjut setiap kes. Majikan turut berhadapan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada di bawah Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan.

Mustafar mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas kenyataan pengurusan sebuah restoran makanan Korea di laman sosial Facebook mengenai penahanan pekerja warga asing restoran itu, yang menurut beliau tidak menunjukkan situasi sebenar operasi dan disifatkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataannya di Facebook, pengurusan restoran itu menyalahkan pihak berkuasa yang kononnya mengakibatkan pengunjung restoran mereka berhadapan kesukaran apabila ramai pekerja asingnya ditahan.

Mustafar menjelaskan, restoran itu adalah antara premis di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur yang diperiksa pada 28 April lalu berdasarkan aduan orang awam bahawa premis makanan di situ banyak mengambil pekerja asing sebagai penyedia dan jurujual makanan.

“Hasil pemeriksaan di restoran itu, kami menahan seorang warga tempatan dan 28 pekerja warga asing atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah 12 warga Bangladesh, Filipina (lapan), Myanmar (tiga), Indonesia (dua), Nepal (dua) dan Pakistan (satu),” katanya yang menjelaskan operasi itu turut membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut Mustafar, warga tempatan yang mengaku penyelia di premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

Katanya, antara kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Beliau berkata, jabatan itu juga mendapati ramai pekerja asing bekerja di barisan hadapan yang jelas merupakan sektor yang tidak dibenarkan menggunakan pekerja asing, seperti juruwang, jurujual lelaki dan wanita, pelayan restoran dan sebagainya.

Perkara ini, katanya, amat mendukacitakan kerana majikan memandang remeh dan sanggup melanggar undang-undang untuk mengaut keuntungan jangka pendek semata-mata dan tindakan mereka turut menyumbang kepada kebanjiran warga asing tanpa izin (pati). – Bernama

The post Jangan salahkan Imigresen tangkap pati: Ketua Pengarah appeared first on Portal Islam dan Melayu.



Sumber asal dan Bacaan Sepanjutnya di Artikel Portal Islam dan Melayu selanjutnya di Jangan salahkan Imigresen tangkap pati: Ketua Pengarah
Tag : agama
0 Komentar untuk "Jangan salahkan Imigresen tangkap pati: Ketua Pengarah"

Back To Top