Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 26 Syaaban 1438H, Selasa – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak kerajaan untuk menghentikan rundingan dan keluar serta-merta daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dalam situasi sekarang, kerajaan tidak lagi perlu meneruskan dialog dengan negara-negara yang turut menandatangani perjanjian tersebut.
Katanya, keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meneruskan penyertaan dalam TPPA sukar diterima, dalam keadaan status perjanjian itu tidak menentu dan ekonomi dunia tidak jelas, akibat hegemoni AS dan kuasa besar negara yang lain.
“Setelah AS keluar daripada TPPA kami tidak nampak perjanjian itu releven dan berdaya maju. AS mempunyai agenda untuk mendominasi ekonomi dunia.
“Presiden Donald Trump melihat TPPA tidak menyakinkan bahawa AS akan mencapai hasrat tersebut. Beliau mahu Amerika menjadi nombor 1, namun, apa yang dimeterai di TPPA dilihatnya tidak cukup menjamin kedudukan AS. Sebab itu AS keluar.
“Jika ekonomi AS yang berkali ganda besar dari Malaysia melihat ada lagi kepentingannya tidak terjamin, kenapa pula Malaysia tidak nampak risiko menyertai TPPA,” soalnya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan menteri MITI yang menegaskan Malaysia akan terus terlibat untuk membincangkan TPPA, meskipun tanpa AS.
Azmi berkata, beliau pelik apabila MITI terlalu ghairah untuk terus melanjutkan proses pemindaan perundangan negara pada hal ia satu perkara yang tidak lagi perlu dilakukan atas nama TPPA.
“Adalah sangat aneh, apabila kerajaan mahu terus meletakkan negara dalam risiko.
“Ini menunjukkan kerajaan masih tidak mengendah teguran pelbagai pihak selama ini bahawa liberalisasi perdagangan dalam TPPA dengan segala implikasi yang bakal membebankan, bakal menjerat negara ini melalui klausa-klausa yang mengikat,” katanya.
The post Kenapa Malaysia masih nak ghairah teruskan TPPA, soal Mapim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kenapa Malaysia masih nak ghairah teruskan TPPA, soal Mapim
0 Komentar untuk "Kenapa Malaysia masih nak ghairah teruskan TPPA, soal Mapim"