KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1439H, Ahad -Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) berkata, pelaksanaan sebarang sistem yang menyentuh umat Islam secara langsung wajar diperjelaskan kepada mereka terlebih dahulu.
Ini bagi mengelak persoalan seperti yang berlaku dengan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah yang mana pelaksanaannya dibatalkan hari ini.
Dalam kenyataan mengenai perkara itu, Yang Dipertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, persatuan itu mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menarik balik penggunaan sistem IMAMS.
“Sewajarnya pelaksanaan sistem sebegini diperjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat terutama masyarakat Islam yang terlibat secara langsung dalam urusan umrah dan haji.
Jangan ada sistem-sistem yang diperkenalkan menambah bebanan kepada mereka. Elakkan juga pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas sistem yang dibuat,” katanya.
“Apapun, syabas di atas keputusan menarik balik penggunaan sistem IMAMS ini,” kata Syeikh Abdul Halim.
Pembatalan itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin selain Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah.
Mas Ermieyati memberitahu sidang media khas kemudian bahawa kerajaan akan mencari mekanisme baharu yang lebih baik dan berkesan dalam menangani isu penipuan pakej umrah di negara ini.
Pelaksanaan IMAMS pada asalnya berkuat kuasa semalam namun ia mengundang pelbagai reaksi masyarakat kerana antara lain dilihat akan mengakibatkan penambahan kos bagi mengerjakan umrah.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu turut menyokong pembatalan berkenaan.
“Kami menerima pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai yang menyatakan kegelisahan mereka berkenaan sistem IMAMS yang baharu diumumkan ini dan telah menyampaikan maklum balas tersebut kepada pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan. – Bernama
The post Pelaksanaan sistem menyentuh umat Islam perlu diperjelaskan terlebih dahulu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Pelaksanaan sistem menyentuh umat Islam perlu diperjelaskan terlebih dahulu
0 Komentar untuk "Pelaksanaan sistem menyentuh umat Islam perlu diperjelaskan terlebih dahulu"