JOHOR BAHRU, 23 Syaaban 1438H, Sabtu – Air Terjun Gunung Pulai 1 di Kulai ditutup selama dua minggu mulai Jumaat hingga 1 Jun, berikutan kematian seorang lelaki akibat kencing tikus Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, penutupan adalah disebabkan persekitaran yang kotor dan untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengarahkan supaya air terjun berkenaan ditutup selama dua minggu mulai 5 petang ini (Jumaat). Sampel air terjun itu telah diambil, namun keputusan sampel air itu belum diperoleh,” katanya dalam semalam.
Ayub berkata, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya mewartakan Gunung Pulai 1 sebagai Taman Negara Johor bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekali gus menangani masalah persekitaran yang kotor.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengunjung air terjun atau pusat reakreasi lain sekitar bulan lepas dan bulan ini untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan atau hospital, terutama yang mengalami sakit perut, selesema, demam dan lemah anggota badan.
Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berumur 18 tahun yang meninggal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Mangsa dari Pekan Nenas, Pontian disahkan meninggal setelah tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi HSA.
Lelaki itu dikatakan mengunjungi Air Terjun Gunung Pulai bulan lalu dan pada awalnya mengalami sakit perut, selesema, demam selama tiga hari serta lemah anggota badan.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini dalam proses penyiasatan dan mengenal pasti pergerakan lelaki itu sebelum dia dimasukkan ke hospital. – Bernama
The post Kencing tikus: Air Terjun Gunung Pulai 1 ditutup appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kencing tikus: Air Terjun Gunung Pulai 1 ditutup
0 Komentar untuk "Kencing tikus: Air Terjun Gunung Pulai 1 ditutup"