Sumber foto: FMT
KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1438H, Jumaat – Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPKTMB) sekali lagi menggesa Pelaksanaan Perjanjian Akses Rangkaian Keretapi (RNAA) terhadap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dihentikan.
Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, tindakan itu perlu agar seiring dengan keputusan Kementerian Pengangkutan yang mahu mengadakan bengkel khusus bagi meneliti impak RNAA kepada sistem pengangkutan awam.
Jelas beliau, gesaan itu dibuat sebagai langkah memperhalusi semula RNAA, terutama berkaitan masa depan pekerja dan penggunaan khidmat kepakaran sedia ada dalam menentukan hala tuju seterusnya KTMB.
Razak berkata, komitmen kementerian untuk mengadakan bengkel khas itu disambut positif pihaknya, bagaimanapun, kekhuatiran masih timbul jika pelan RNAA masih diteruskan.
“KTMB tidak pun berdepan masalah untuk membatalkan perjanjian yang sudah dipersetujui pada Disember lalu, memandangkan ia masih di peringkat awal serta tidak merangkumi skop keseluruhan pelaksanaan RNAA.
“Kita batalkan dulu pelaksanaan RNAA, bagi ruang kepada bengkel ini berjalan. Kita percaya bengkel ini akan menghasilkan banyak idea dan input bersesuaian bagi menentukan hala tuju dan masa depan KTMB.
“Kami sedia bersama kementerian, bahkan menyuarakan pandangan kami berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan dalam mengupayakan semula jenama KTMB tanpa RNAA,” katanya pada sidang media di pejabat KPKTMB, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya masih kekal dengan pendirian asal bahawa RNAA yang dijadual dilaksana tahun depan bakal menjurus kepada pembuangan pekerja, malah akan melupuskan perjanjian bersama (CA) antara KPKYMB dan majikan yang diamalkan syarikat itu sejak sekian lama.
RNAA adalah projek usaha sama KTMB dengan Railway Assets Corporation (RAC) dan ia adalah badan berkanun persekutuan sementara KTMB adalah syarikat milik penuh kerajaan.
Perjanjian RNAA juga menurut kementerian sebelum ini selari dengan klausa 89 Akta Keretapi 1991, di mana apabila dilaksana kelak, berlaku pengasingan skop kerja iaitu pengendali perkhidmatan keretapi diurus KTMB, sementara pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan aset keretapi diurus RAC.
The post Kesatuan Pekerja KTMB desak kementerian batalkan RNAA appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kesatuan Pekerja KTMB desak kementerian batalkan RNAA
0 Komentar untuk "Kesatuan Pekerja KTMB desak kementerian batalkan RNAA"