Gema Semua Maklumat

Lagi tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun

Lagi tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun

KUALA LUMPUR, 1 Ramadan 1438H, Sabtu – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tujuh produk kosmetik yang telah dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Tujuh produk kosmetik itu ialah Night Glowing, Night Glow, Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed Gold Night Cream, Qu Gebu AP Krim, Nour Ain Night Cream dan Royal Expert Whitening Cream.

Nama pemegang notifikasi bagi produk Night Glowing dan Night Glow adalah Ezzuriche Wellness; Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed Gold Night Cream (Babiez Glow Skincare); Qu Gebu AP Krim (Vida Beauty); Nour Ain Night Cream (Elsuhaz (M) Sdn. Bhd.) dan Royal Expert Whitening Cream (Ortus Experts Cosmetics Sdn. Bhd.)

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Hisham, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” jelasnya.

April lalu KKM mengesan tiga produk mengandungi racun antaranya Tati Skincare Night Cream yang mengandungi merkuri, Tati Skincare Treatment Cream (hydroquinone dan tretinoin) dan Moleek Anti Pigment Cream (hydroquinone dan tretinoin).

The post Lagi tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Lagi tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Lagi tujuh produk kosmetik dikesan mengandungi racun"

Back To Top