Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 13 Syaaban 1438H, Rabu – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan memecat empat pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam sekiranya terbukti bersalah.
Yang Di-Pertua MAINPP, Datuk Mohd Salleh Man berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung kes penyelewengan wang zakat negeri itu.
“Saya juga memberi jaminan kepada orang ramai khususnya masyarakat Islam bahawa mereka tidak perlu bimbang kerana pihak MAINPP akan berusaha mengambil langkah-langkah tertentu bagi meningkatkan ketelusan dan urus tadbir baik di semua peringkat pengurusan ZPP.
“MAINPP sebagai satu institusi agama akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbukti terlibat rasuah dan tidak akan teragak-agak memecat individu berkenaan,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP, dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan ZPP dan tiga lagi pegawai badan itu kerana disyaki terlibat dalam kes penyelewengan wang zakat negeri berkenaan.
Turut ditahan tujuh kontraktor berusia antara 41 dan 52 tahun yang dipercayai sering menerima projek atau tender daripada pegawai-pegawai ZPP yang ditahan itu.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban pada sidang akhbar di pejabatnya di sini berkata, pegawai kanan ZPP itu ditahan di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam.
“Lelaki itu dipercayai menerima barang-barang berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa pemilik syarikat kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan masyarakat ZPP.
“Suspek yang memegang jawatan itu sejak 1995 dipercayai turut memberi bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP),” katanya.
Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan (b) serta seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.
The post MAINPP sedia pecat empat pegawainya jika terbukti terlibat rasuah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di MAINPP sedia pecat empat pegawainya jika terbukti terlibat rasuah
0 Komentar untuk "MAINPP sedia pecat empat pegawainya jika terbukti terlibat rasuah"