Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Pensyarah dan juga pendakwah, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempersoalkan bilakah kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengembalikan nama asalnya, sebagaimana yang diputuskan Melaka sebelum ini.
Menggesa supaya nama Pulau Pinang dikembalikan semula, beliau berkata, rata-rata masyarakat hari ini selesa menggunakan ‘Penang’ dalam menonjolkan negeri itu.
“Sejak bila Pulau Pinang jadi Penang. Sama seperti Singapura, sejak pulau ini terlepas kepada ultra kiasu, nama Singapura tidak lagi disebut seperti nama asalnya tetapi disebut Singapore.
“Cuma lagu kebangsaan dan cogan kata “Majulah Singapura” masih lagi bertahan. Itupun ada percubaan untuk mengubahnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Katanya, ultra kiasu perlu ingat nama Pulau Pinang itu diambil daripada pokok pinang, yang buktinya jelas terpampang pada bendera negeri itu.
“Sebelum ini Pulau Pinang dikenali sebagai Tanjung Bidara. Sudah sampai masanya, Penang International Airport dan apa jua bernama Penang ditukar menjadi Pulau Pinang. Adakah tidak glamour bila disebut Pulau Pinang International Airport.
“Nama khas tidak boleh diubah. Malangnya ultra kiasu dan segelintir orang Melayu sendiri sudah selesa dengan nama Penang. Inilah kejayaan ultra kiasu mendogmakan orang melayu sehingga terikut-ikut dengan rentak mereka,” katanya.
Tegas beliau, jika nama Penang terus diguna pakai, ia secara perlahan-lahan akan mengikis dan mencabut identiti asal usul pulau Melayu di negeri itu.
“Sudahlah penduduk Melayunya semakin ramai meninggalkan pulau sama ada secara dipaksa atau terpaksa. Bila menjadi Penang sepenuhnya nanti, maka tercabutlah segala-galanya.
“Maka meloponglah orang Melayu yang hari ini sudahpun terlopong,” katanya.
Justeru, beliau menggesa rakyat Pulau Pinang bangkit mendesak kerajaan negeri supaya mengikut jejak Melaka supaya sebutan dan segala urusan rasmi menggunakan nama asalnya, sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris mahupun bahasa lain.
Ridhuan Tee berkata demikian sebagai mengulas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka yang mahu nama ‘Malacca’ yang lazim digunakan dalam Bahasa Inggeris tidak lagi diguna pakai sebaliknya digantikan dengan nama ‘Melaka’.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka atas keputusan mengembalikan nama asal Melaka dalam urusan rasmi bukan bukannya Malacca yang lazim digunakan dalam Bahasa Inggeris.
“Semua akhbar dan media sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa hendaklah menggunakan nama ‘Melaka’ dalam penulisan atau sebutan pada setiap penerbitan mereka,” kata Ridhuan Tee.
The post Melaka sudah, Pulau Pinang bila lagi? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Melaka sudah, Pulau Pinang bila lagi?
0 Komentar untuk "Melaka sudah, Pulau Pinang bila lagi?"