Najib kini tertekan untuk mencari wang bagi membayar hutang 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit
BANGI, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Kerajaan Komunis China dilaporkan menghalang syarikat milik negara itu daripada membantu menyelamatkan Malaysia daripada skandal berbilion-bilion ringgit, menjadi punca kegagalan China Railway Engineering Corp (CREC) dan firma tempatan, membuat bayaran pembelian saham Bandar Malaysia, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Dokumen dalaman Kementerian Kewangan Malaysia mengenai masalah berhubung penjualan itu yang dilihat oleh WSJ menyebut, sebab utama kegagalan perjanjian pembelian saham itu ialah kerana kerajaan China enggan memberikan lampu hijau kepada CREC untuk membuat pelaburan.
Sejak beberapa bulan lalu, China menguatkuasakan langkah kawalan modal untuk menghadkan aliran keluar wang dengan mengharamkan rakyatnya menukar Yuan kepada matawang lain bagi pembelian hartanah di luar negara. Tindakan ini turut menjejaskan jualan rumah mewah di Forest City di Johor Baharu, kepada warga China.
Sebelum ini, China Railway Group merancang kononnya untuk membina bandar bawah tanah terbesar di dunia di Bandar Malaysia yang akan menjadi tunjang kepada rangkaian kereta api China Pan Asia.
Bandar itu bakal meliputi pusat beli-belah bawah tanah, terusan, taman tema tertutup, perkampungan budaya, taman-taman dalaman, pusat kewangan serta ibu pejabat serantau terbarunya yang bernilai RM8.3 bilion.
Pengurus Besar bagi pejabat China Railway di Malaysia, Cai Zemin berkata, Bandar Malaysia akan menjadi pertalian di rangkaian kereta api meluas serantau dalam pelan besar-besaran China untuk menghubungkan 65 negara dalam laluan sutera versi moden.
“Bandar Malaysia akan menjadi permata berkilauan di koridor kereta api China. Koridor kereta api China akan menghubungkan Asia Tenggara dengan Asia Timur, Asia Barat dan Asia Selatan,” katanya.
Semalam, TRX City Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan, mengumumkan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC), batal, berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.
Perjanjian itu membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, bernilai RM7.41 bilion. Keseluruhan pembangunan Bandar Malaysia membabitkan kos kira-kira RM200 bilion.
WSJ melaporkan penjanjian penjualan saham ini adalah penting bagi Malaysia untuk menjual aset, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas syarikat pelaburan milik penuh negara itu menanggung hutang lebih AS$13 bilion.
1MDB kini menjadi fokus pihak berkuasa beberapa negara, termasuk Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, dalam siasatan penyelewengan dan pengubahan wang haram. Skandal 1MDB kini membabitkan sekurang-kurangnya 10 negara.
Kegagalan perjanjian itu menurut WSJ adalah satu tamparan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menubuhkan 1MDB pada 2009 dan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat, dengan sasaran membangunkan ekonomi Malaysia.
1MDB juga tidak pernah mengeluarkan laporan audit kewangannya sejak 2015 atau 2016, menyebabkan kedudukan kewangannya kini tidak jelas. Kegagalan perjanjian itu turut menjadi tekanan kepada Najib yang juga Menteri Kewangan, untuk mencari jalan membayar hutang 1MDB.
Bulan lalu, 1MDB yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, bersetuju membayar AS$1.2 bilion (RM5.28 bilion) kepada firma pelaburan Abu Dhabi – International Petroleum Investment Co (IPIC).
Bayaran itu adalah pinjaman kecemasan dibuat oleh 1MDB, termasuk faedah yang dibayar oleh Abu Dhabi apabila 1MDB gagal menawarkan perkhidmatan kepada bonnya, selain selepas konsortium bank antarabangsa membatalkan pinjaman kepada 1MDB. Malaysia akan membayar IPIC kira-kira AS$500 juta sebelum Julai ini dan AS$600 juta lagi sebelum akhir Disember.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan berkaitan sejumlah AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) bayaran yang dipertikaikan.
Perjanjian jual saham Bandar Malaysia RM7.41 bilion kepada Iskandar Waterfront, China Railway batal
China rancang bina bandar bawah tanah terbesar dunia di Bandar Malaysia
The post Parti Komunis China halang pembelian saham Bandar Malaysia, lapor akhbar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Parti Komunis China halang pembelian saham Bandar Malaysia, lapor akhbar
0 Komentar untuk "Parti Komunis China halang pembelian saham Bandar Malaysia, lapor akhbar"