Gema Semua Maklumat

PAS sokong jika beri kebaikan, tentang jika bercanggah Islam: Hadi Awang

PAS sokong jika beri kebaikan, tentang jika bercanggah Islam: Hadi Awang

Oleh Razali bin Zakaria

KOTA SARANG SEMUT, 4 Syaaban 1438H, Isnin – PAS akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam hal-hal berkaitan kebajikan rakyat dan kepentingan Islam, tetapi menentang jika ianya bercanggah dengan Islam, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sambil memberi contoh Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 (RUU 355) dan berterima kasih kepada kerajaan, beliau menjelaskan tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa parti itu sesat kerana menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) rakan, adalah tidak berasas.

“Perkara yang baik seperti kebajikan rakyat, kita boleh bekerjasama. Kalau bercanggah dengan agama Islam, kita bangkang, kita tentang. Itu adalah pendirian kita yang terbuka,” kataya kepada media selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Guan Eng hari ini berkata, tindakan PAS mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menunjukkan parti itu sesat dalam berpolitik selain ia akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

“Jadi di sini, jelaslah PAS dari segi perjuangan politiknya telah sesat jalan dan lupa siapa kawan siapa lawan… sepatutnya musuh utama PAS adalah BN,” kata Guan Eng.

Menempelak kenyataan itu, Abdul Hadi berkata, PAS selama ini adalah sebuah parti yang paling konsisten berbanding parti lain yang menyokong sesuatu kebaikan dan menentang perkara yang bertentangan dengan Islam.

Dalam isu Akta 164, beliau berkata, PAS tidak bersetuju kerana tidak sesuai dengan realiti masyarakat Malaysia, sebaliknya parti lain, termasuk dalam pakatan harapan menyokongnya.

Abdul Hadi turut membidas akhlak murahan ditunjukkan Ahli Parlimen, khususnya daripada blok kedua pembangkang yang menjerit-jerit sambil mengeluarkan kata-kata kurang sopan ketika beliau membentangkan RUU355.

“Kita perhatikan akhlak murahan termasuk bukan Islam yang membantah pembentangan itu dengan menunjukkan aksi terjerit-jerit dan melaungkan kata kurang sopan. Ini bukanlah ciri-ciri Anggota Parlimen sejati yang dipilih rakyat. Kerana marahkan PAS untuk memartabatkan Islam, PAS telah dihalang sebegitu rupa,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, beliau menegaskan bahawa PAS bukannya parti persinggahan bagi pihak tertentu yang mahu mempergunakannya demi kepentingan diri sendiri.

“Jangan jadikan PAS parti persinggahan hanya untuk sementara dan kemudian berambus pergi bila aircond kita rosak,” katanya tanpa menjelaskan parti yang dimaksudkan itu.

Beliau juga mengingatkan ahli PAS dan pengamal media mereka supaya tidak terikut-ikut dengan politik bodoh atau politik jual ubat tepi jalan, selain menghormati sensitiviti agama, termasuk agama lain.

The post PAS sokong jika beri kebaikan, tentang jika bercanggah Islam: Hadi Awang appeared first on Portal Islam dan Melayu.



Sumber asal dan Bacaan Sepanjutnya di Artikel Portal Islam dan Melayu selanjutnya di PAS sokong jika beri kebaikan, tentang jika bercanggah Islam: Hadi Awang
Tag : agama
0 Komentar untuk "PAS sokong jika beri kebaikan, tentang jika bercanggah Islam: Hadi Awang"

Back To Top