Kira-kira 75,000 etnik Rohingya meninggalkan negeri Rakhine Oktober lalu selepas tentera rejim Myanmar melancarkan operasi.
PBB menghantar pasukan khas mencari fakta menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar
NEW YORK, 5 Ramadan 1438H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, melantik tiga individu bagi menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.
Menurut kenyataan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC), misi mencari fakta itu diketuai peguam terkenal India, Indira Jaising; Peguam Sri Lanka, Radhika Coomaraswamy; dan perunding hak asasi manusia Australia, Christopher Dominic Sidoti
Tentera Myanmar dituduh melakukan pembunuhan dan merogol umat Islam Rohingya, di utara negeri Rakhine, tahun lalu.
“Kami menjangkakan anggota misi itu akan bertemu di Geneva minggu depan bagi mengenal pasti langkah awal mereka – strategi, metodologi dan pendekatan bagi mendapatkan fakta melaksanakan mandat diberikan.
“Mereka akan dibantu oleh sepasukan pakar hak asasi manusia di Geneva,” kata jurucakap HRC, Rolando Gomez.
Misi ini akan membentangkan laporan lisan kepada PBB pada September dan laporan penuh pada Mac 2018.
Mac lalu, PBB menerima pakai resolusi untuk menubuhkan, misi bebas antarabangsa menyiasat kejadian yang berlaku terhadap etnik Rohingya. Resolusi itu dibawa oleh Kesatuan Eropah dan disokong negara lain, termasuk Amerika Syarikat untuk ‘memastikan akauntabiliti penuh bagi pelaku dan keadilan untuk mangsa’.
Bagaimanapun, Myanmar, China, India, dan Cuba tidak menyokong resolusi itu.
Rejim Myanmar pada 1982, membatalkan kerakyatan umat Islam Rohingya dan mengelar mereka sebagai pelarian. Kira-kira 1.1 juta etnik Rohingya dinafikan kerakyatan dan pergerakan mereka juga adalah terhad, dengan ribuan daripada mereka kini menghuni kem-kem pelarian di Bangladesh sejak konflik tercetus pada 2012 hingga sekarang.
Kira-kira 75,000 lagi meninggalkan Rakhine sejak tentera melancarkan operasi pada Oktober tahun lalu, sebagai tindak balas terhadap apa yang mereka dakwa serangan lelaki bersenjata Rohingya terhadap pos tentera yang mengorbankan sembilan anggota polis Myanmar.
Rejim Myanmar kerap menentang Suruhanjaya Siasatan PBB berhubung tuduhan penderaan terhadap etnik Rohingya. Tidak pasti sama ada pasukan siasatan yang baharu dibentuk itu dibenarkan memasuki Rakhine atau Myanmar. – Agensi
The post PBB lantik pasukan khas siasat kekejaman terhadap Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PBB lantik pasukan khas siasat kekejaman terhadap Rohingya
0 Komentar untuk "PBB lantik pasukan khas siasat kekejaman terhadap Rohingya"