BANGI, 6 Syaaban 1438H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam suspek termasuk dua wanita disyaki terbabit bersama kumpulan pengganas Daaesh, dalam satu operasi yang dilancarkan di beberapa negeri pada 24 Mac hingga 25 April lalu.
Penahanan semua suspek itu menerusi operasi khas Bahagian Counter Terrorism disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan pertama dibuat pada 24 dan 25 Mac lalu di Kelantan membabitkan dua suspek lelaki yang masing-masing berusia antara 26 dan 41 tahun.
“Kedua-dua suspek bersubahat dalam aktiviti menyeludup senjata api dari Selatan Thailand untuk kegunaan anggota kumpulan pengganas Daesh di Malaysia.
“Tangkapan kedua pada 4 April di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan seorang suspek wanita yang berusia 26 tahun.
“Suspek yang merupakan pelajar jurusan makmal perubatan di sebuah kolej awam di Lembah Klang, berlepas ke Turki pada 29 Ogos 2016 bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria,” katanya.
Bagaimanapun Khalid berkata, suspek wanita berkenaan ditahan oleh pihak berkuasa Turki ketika menunggu arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi pada 5 Februari lalu.
“Dua lagi suspek yang ditahan pada 20 April 2017 di Melaka dan Johor melibatkan seorang suspek lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun.
“Suspek lelaki tersebut merupakan seorang penganggur dan pernah terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh di Syria. Manakala suspek wanita yang bekerja sebagai pembantu jurutera kilang, terlibat dalam mempromosikan kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi Google Plus,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, seorang lagi suspek lelaki berusia 41 tahun ditahan pada 25 April lepas di Pulau Pinang, yang aktif mempromosikan kumpulan pengganas Daesh melalui 15 akaun Facebook miliknya sejak tahun 2014.
“Suspek juga merancang untuk melancarkan serangan di masjid Syiah di sekitar Pulau Pinang.
“Keenam-enam suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VI – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.
The post Pelajar makmal perubatan, penolong jurutera antara ditangkap terbabit Daesh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pelajar makmal perubatan, penolong jurutera antara ditangkap terbabit Daesh
0 Komentar untuk "Pelajar makmal perubatan, penolong jurutera antara ditangkap terbabit Daesh"