Gema Semua Maklumat

Pemerintah Dubai lancar projek mega bernilai US$1.7 bilion

Pemerintah Dubai lancar projek mega bernilai US$1.7 bilion

KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1438H, Isnin – Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid, mengumumkan pelancaran Marsa Al Arab, projek mega Dubai Holding bernilai US$1.7 bilion (kira-kira RM7 bilion), pembangunan destinasi pelancongan terbaharu di Emiriah itu, lapor arabianbusiness.com.

Projek di kawasan seluas empat juta kaki persegi itu akan dibangunkan di dua pulau baharu di kedua-dua bahagian Burj Al Arab Jumeirah.

Kerja-kerja pecah tanah untuk Marsa (perkataan Arab untuk marina) Al Arab akan bermula pada Jun ini dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2020.

Menurut Pengerusi Dubai Holding, Abdulla Al Habbai, pelancaran projek terbaharu dan ‘bercita-cita tinggi’ itu selari dengan arahan pihak pemerintah yang mahu menyediakan pengalaman terbaik kepada pengunjung yang melawat Dubai, selain mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai destinasi pelancongan global.

“Kami sangat berbangga dengan peranan penting yang dimainkan Dubai Holding, menerusi sokongan inovasi dan sumbangan terhadap kepelbagaian ekonomi di Dubai,” katanya yang dipetik arabianbusiness.com.

Di bawah projek itu, sebuah pulau akan dikhususkan untuk hiburan dan pelancongan keluarga, manakala sebuah lagi akan menempatkan resort mewah dan eksklusif.

Untuk resort keluarga, Jumeirah Group akan memperkenalkan konsep dan perkhidmatan lebih santai, selain menyediakan hotel berorientasikan keluarga.

Dubai Holding juga akan membangunkan Taman Marin, pusat didik hibur hidupan marin yang pertama seumpamanya di Timur Tengah, yang dilengkapi teater terbuka dilengkapi 1,000 tempat duduk, bakal menampilkan penganjuran pertunjukan hidupan marin bertaraf dunia.

Melengkapi Madinat Jumeirah, sebuah pusat persidangan pelbagai guna yang mampu menganjurkan persidangan antarabangsa dan pesta perayaan besar-besaran akan dibina, disokong oleh sebuah hotel baharu.

Projek berkenaan akan dilengkapi ruang niaga seluas 20,000 kaki persegi, yang akan menggantikan kawasan Taman Tema Air Wild Wadi, lapor agensi berita itu.

Taman Marin dan Taman Tema Air Wild Wadi yang dimantapkan itu bakal meliputi kawasan seluas 2.5 juta kaki persegi.

Destinasi pelancongan keluarga akan dilengkapi teater khas dengan kapasiti 1,700 tempat duduk, dan ia bakal menampilkan persembahan oleh kumpulan pertunjukan sarkas terkenal Cirque du Soleil buat pertama kalinya di Timur Tengah.

Marsa Al Arab juga menawarkan 300 unit apartment mengadap laut yang terletak di tengah-tengah kawasan pembangunan tersebut.

Sementara itu, di kawasan pulau persendirian eksklusif, Dubai Holding akan membangunkan 140 villa mewah, yang akan dilengkapi sebuah marina untuk kegunaan penghuninya.

Villa mewah yang terletak di sebelah kiri Burj Al Arab Jumeirah itu akan diurus oleh pihak Jumeirah Group.

Pulau itu juga akan menempatkan hotel butik yang akan dilengkapi kemudahan bertaraf dunia.

Secara keseluruhannya, Dubai Holding akan menambah sebanyak 2,400 lagi bilik hotel di bawah portfolio Jumeirah Group, menjadikan sebanyak 8,428 bilik hotel yang ditawarkan secara keseluruhannya.

Sebanyak 400 ruang niaga berasaskan makanan dan minuman akan turut dibuka di situ. – Bernama

The post Pemerintah Dubai lancar projek mega bernilai US$1.7 bilion appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pemerintah Dubai lancar projek mega bernilai US$1.7 bilion
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Pemerintah Dubai lancar projek mega bernilai US$1.7 bilion"

Back To Top