KUALA LUMPUR, 21 Syaaban 1438H, Khamis – Proses tapisan bagi pengambilan penjawat awam mungkin perlu ditambah baik bagi mengelak sebarang aktiviti rasuah ketika berada dalam perkhidmatan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Ali berkata, bagi mencapai sasaran sifar rasuah dalam kalangan penjawat awam beberapa langkah perlu diambil termasuk proses tapisan bagi memastikan individu yang benar-benar berintegriti mengisi jawatan berkenaan.
“Setakat ini memang kita ada tapisan, tapi mungkin kita perlu tambah baik, masa pengambilan (penjawat awam) tiada masalah, tapi mereka boleh berubah separuh jalan, ” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Fletcher di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendedahkan penahanan 414 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini, dengan 191 orang atau 46 peratus daripadanya merupakan penjawat awam.
Katanya, unit integriti yang diwujudkan di setiap kementerian dan jabatan perlu aktif menjalankan kempen kesedaran kepada penjawat awam ini agar mereka sentiasa diingatkan menjalankan tugas dengan telus.
Ali juga menegaskan, walaupun kes rasuah melibatkan penjawat awam masih terkawal tetapi cukup penting untuk mengikis dan menghapuskan kegiatan tersebut dalam kalangan mereka.
“Saya tidak boleh katakan ini masalah besar, tetapi kita juga tidak boleh ketepikan masalah ini. Kita tahu nak hapuskan rasuah ini rumit tetapi kita kena lakukan juga untuk pastikan penjawat awam sifar rasuah,” katanya.- Bernama
The post Perlu tapis pengambilan penjawat awam bagi elak rasuah: KSN appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Perlu tapis pengambilan penjawat awam bagi elak rasuah: KSN
0 Komentar untuk "Perlu tapis pengambilan penjawat awam bagi elak rasuah: KSN"