KUALA LUMPUR, 20 Syaaban 1438H, Rabu – Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar menyeru Perdana Menteri, anggota Kabinet dan ketua-ketua institusi utama mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan, Akhbar berkata, ia adalah untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti di peringkat atasan.
Manakala, Ketua Pesuruhjaya SPRM pula perlu mengisytiharkan hartanya kepada Parlimen, kata Akhbar.
Dalam pada itu Akhbar menolak dakwaan mengatakan pengisyyiharan harta ini berisiko kerana boleh mendedahkan anggota keluarga kepada penculikan untuk wang tebusan.
“Tidak ada bahaya, kerana setiap tahun senarai teratas 10 orang terkaya di Malaysia (dan nilai bersih mereka) disiarkan dalam media,” katanya.
Pada masa ini, anggota kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri, manakala ketua jabatan dan kementerian mengisytiharkan harta mereka kepada ketua setiausaha kepada kerajaan.
Akhbar berkata, harta perlu diisytiharkan oleh semua anggota eksekutif, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan pihak pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam.
“Perisytiharan itu perlu dilakukan sebelum dan selepas memegang jawatan, dengan analisis nilai bersih dijalankan secara berkala.
“Proses itu harus merangkumi harta pasangan, tanggungan dan lain-lain anggota keluarga terdekat, serta kepentingan komersial atau institusi yang disertainya,” katanya.
Selain itu, Akhbar mencadangkan satu bahagian khas yang terdiri daripada pakar perakaunan forensik dan penyiasat perlu ditubuhkan untuk melakukannya.
“Mereka akan menyiasat dan mendakwa mereka yang gagal mematuhinya. Amalan seperti ini juga boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai,” katanya.
The post PM, anggota Kabinet perlu isytihar harta kepada SPRM: TI-M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PM, anggota Kabinet perlu isytihar harta kepada SPRM: TI-M
0 Komentar untuk "PM, anggota Kabinet perlu isytihar harta kepada SPRM: TI-M"