JOHOR BAHRU, 8 Syaaban 1438H, Jumaat – Polis sedang menyiasat kes kejadian seorang pemandu lelaki yang dipukul jemaah masjid selepas dikatakan membunyikan hon ketika solat Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada pengadu berusia 28 tahun yang turut cedera di kepala dan badan.
Susulan itu, Kamarul meminta masyarakat memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci kes itu.
Beliau turut meminta semua pihak tidak mengambil tindakan sendiri, selain tidak memperbesarkan isu sehingga boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyerahkan kes ini kepada pihak polis dan berpuas hati dengan tindakan yang diambil, selain berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Setakat ini, pengadu memberi jaminan tidak akan melibatkan anasir gengsterisme dalam isu ini dan menafikan sudah menjadikan isu ini viral di FB (Facebook),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Berdasarkan laporan, lelaki itu memaklumkan ketika berada di hadapan surau terbabit, dia mendapati sebuah kereta menghalang laluannya menyebabkannya membunyikan hon, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang.
Katanya, selepas itu seorang lelaki keluar dari surau itu dan mengalihkan kenderaan dan pengadu membunyikan hon semula sebelum tiba-tiba sekumpulan lelaki datang dan terus memukulnya dengan tangan dan topi keledar sehingga menyebabkan keretanya turut rosak.
The post Polis siasat kes pemandu dipukul akibat bunyi hon appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Polis siasat kes pemandu dipukul akibat bunyi hon
0 Komentar untuk "Polis siasat kes pemandu dipukul akibat bunyi hon"