Gema Semua Maklumat

Seorang ditangkap berhubung kehilangan mubaligh Kristian

Seorang ditangkap berhubung kehilangan mubaligh Kristian

KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1438H, Rabu – Polis menahan seorang individu di utara tanah air, minggu lalu, bagi membantu siasatan berhubung kes pastor Raymond Koh yang dilaporkan hilang sejak 13 Februari lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tanpa mendedahkan lebih lanjut, beliau berkata, setakat ini hanya seorang sahaja individu yang ditahan.

“Kita tidak akan menutup kes ini dan saya tegaskan polis menyiasat semua kes termasuk kes ini,” katanya pada sidang media selepas Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-210 Tahun 2017, di Bukit Aman, hari ini.

Beliau mengakui pada peringkat awal siasatan, polis berdepan kesulitan kerana terlalu banyak gangguan daripada pihak tertentu, sehingga berlaku banyak kecacatan dalam kes itu.

“Biar kita siasat dahulu kes ini dan usah beri publisiti. Bila publisiti terlalu banyak, jadi banyaklah kecacatan,” katanya sambil menambah polis menyiasat semua laporan yang dibuat, termasuk dakwaan mengatakan pastor itu dilarikan atau memurtadkan umat Islam.

Mengenai dakwaan aktivis yang mendakwa pihak berkuasa terbabit dalam kehilangan pastor itu, beliau berkata, polis akan memanggil aktivis berkenaan bagi membantu siasatan.

“Usah buat sebarang tuduhan tidak berasas. Kalau tiada bukti jangan buat tuduhan mengatakan kehilangan pastor ini kerana tindakan pihak berkuasa. Kalau ada bukti beritahu. Kita jalankan siasatan dan ambil tindakan.

“Kalau tidak, usah cuba ‘spin’ situasi nak tunjukkan kerajaan dan pihak berkuasa terlibat dalam perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, laporan menyebut polis menerima beberapa laporan daripada individu yang mendakwa pastor terbabit dan dua lagi pergi ke Kangar, Perlis pada 19 dan 29 Januari lalu untuk mempengaruhi sekumpulan pemuda memeluk Kristian.

Khalid sendiri sebelum ini mengesahkan polis menerima laporan mengenainya dan beberapa individu lain yang cuba menyebarkan agama Kristian di Utara.

Pada 13 Februari lalu, Koh diculik sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai ketika kejadian menunjukkan kira-kira 15 lelaki dengan tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit dalam penculikan itu

The post Seorang ditangkap berhubung kehilangan mubaligh Kristian appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Seorang ditangkap berhubung kehilangan mubaligh Kristian
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Seorang ditangkap berhubung kehilangan mubaligh Kristian"

Back To Top