MEMANG benar, ‘on-call’ bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah perubatan. Tetapi, cuba bayangkan jika kita terpaksa bertugas selama hampir 33 jam. Bagi seorang doktor, apa lagi jika wanita, tentulah letih jika bertugas dalam tempoh berkenaan.
Doktor terpaksa berkejar ke sana sini di dalam wad hospital. Menggunakan tangan, fikiran dan berdepan kerenah pesakit. Pastinya, membuatkan badan dan otak mereka letih.
Ya! Memang benar, ajal sudah ditakdirkan. Bila tiba masa, kita tidak boleh lari daripada kematian. Tetapi, tidak ada seorang yang normal mahu menempah ajalnya. Hanya orang ‘gila’ atau sakit mental sanggup bunuh diri.
Sering kali, kematian ada punca dan bersebab. Sakit, kemalangan atau lain-lain yang menyebabkan dia mati. Tetapi, kenapa boleh sakit hingga menyebabkan kematian? Mengapa berlaku kemalangan menyebabkan kematian? Cuba kaji secara mendalam.
Pihak berkuasa sentiasa menyalahkan pemandu – lalai dan cuai menjadi alasan paling utama. Sebab itu, undang-undang yang ada sekarang hanya ditujukan kepada pemandu. Jika jalan rosak punca kemalangan maut, yang salah tetap pemandu. Yang dituduh di mahkamah tetap pemandu, bukan pihak yang menyediakan jalan itu.
Begitu juga nahas yang menyebabkan seorang doktor wanita yang dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ke Marang, Terengganu, 9 Mei lalu, meninggal dunia.
Daripada maklumat yang Pedang terima, sebelum nahas itu, Dr Nurul Huda Ahmad ‘dipaksa’ bertugas selama hampir 33 jam. Apakah Kementerian Kesihatan – yang sentiasa berlepas tangan jika berlaku kes seperti ini – tidak mengetahui masalah sindrom keletihan selepas ‘post-call’?
Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan HUSM patut memberi jawapan yang lebih baik daripada menyalahkan doktor terbabit. Jawapan biasa yang diberi oleh Kementerian Kesihatan ialah “kami sudah nasihatkan semua doktor yang bertugas sedemikian supaya rehat atau tidur terlebih dahulu sebelum memandu pulang”.
Itulah jawapan yang biasa kita dengar. Jawapan yang turut diberikan selepas Dr Afifah Mohd Ghazi, seorang pakar bius, meninggal dunia akibat kemalangan hanya 3 kilometer dari Hospital Sungai Buloh tempat beliau bertugas, pada 9 Julai 2015, yang dalam perjalanan pulang setelah bertugas ‘on-call’ selama 32 jam.
Selepas kemalangan itu, macam-macam jawapan membela diri diberikan oleh Kementerian Kesihatan. Tidak ada rasa salah langsung bagi Kementerian Kesihatan memaksa doktor, khususnya wanita, bertugas bagai orang gila.
Tak perlu Menteri Kesihatan memberi kenyataan hanya untuk menyedapkan telinga – “kita mungkin akan kaji semula sistem on-call”. Sedangkan, hakikatnya, doktor-doktor muda masih ‘dipaksa’ melakukan tugas melebihi 24 jam tanpa henti.
Pedang pernah ‘on-call’ tanpa henti, tanpa tidur selama lebih 48 jam, iaitu ketika membuat liputan tragedi kilang bunga api Bright Sparklers di Sungai Buluh pada 1991 yang kami kenali sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’. Kira-kira 26 orang maut, lebih 83 cedera, rumah sekitar kilang hampir musnah. Begitu juga ketika tragedi Highland Towers pada Disember 1993, tak lelap mata Pedang selama dua hari.
Pedang sekarang ini tak sanggup lagi bertugas tanpa henti selama 33 jam.
Walaupun, doktor-doktor yang meninggal dunia itu masih muda, tapi mereka tetap akan mengalami sindrom keletihan.
Tidak ada alasan lagi bagi Kementerian Kesihatan, sebaliknya mengaku sahaja ‘on-call’ lebih 24 jam adalah satu kesilapan, melanggar kekuatan mental dan fizikal. Arahan mesti dikeluarkan kepada semua pengarah hospital supaya ‘on-call’ hendaklah tidak lebih 24 jam.
Walaupun, pihak berkuasa berkata nahas membabitkan Dr Nurul Huda masih disiasat, Pedang meletakkan 100 peratus kesalahan kepada Kementerian Kesihatan kerana ‘memaksa’ doktor bertugas hampir 33 jam. Di luar fitrah kekuatan manusia.
Pihak berkuasa pastinya menyalahkan Dr Nurul Huda kerana memandu dalam keadaan lalai dan cuai. Pihak berkuasa tidak akan menyalahkan ‘on-call 33 jam’.
Pedang juga mengulangi saranan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) yang mencadangkan beberapa inisiatif sebagai langkah membantu kakitangan kesihatan yang ‘on-call’.
Antara yang dicadangkan ialah petugas perubatan on-call dibenar mendapat cuti sepenuhnya (post-call off), selain layak menerima elaun bertugas atas panggilan dan membenarkan tuntutan perjalanan menggunakan khidmat teksi/Uber/Grabcar setelah tamat tugas ‘on-call’
Kata Pedang: Menteri Kesihatan sudah tentu biasa bekerja hampir 33 jam. Itupun hanya ketika kempen pilihan raya. Nak pujuk pengundi untuk menjadi YB, sanggup tak tidur. Itupun bukan memandu sendiri.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
I-Medik syor inisiatif elak kemalangan maut babit doktor post-call berulang
The post Seorang lagi doktor mangsa tugas 33 jam tanpa henti appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Seorang lagi doktor mangsa tugas 33 jam tanpa henti
0 Komentar untuk "Seorang lagi doktor mangsa tugas 33 jam tanpa henti"