Gema Semua Maklumat

Wajarkah EXCO PAS letak jawatan?

Wajarkah EXCO PAS letak jawatan?

BARU-BARU ini hangat dengan isu politik di negeri Selangor yang menyaksikan desakan agar EXCO-EXCO PAS meletakkan jawatan. Isu ini hangat selepas Majlis Syura PAS mengumumkan hubungan tahaluf siyasi antara PAS dan PKR berakhir.

Saya berpandangan PAS tidak wajar letak jawatan EXCO di Selangor. Ini kerana lantikan itu adalah lantikan semasa tahaluf siyasi masih lagi wujud. Kerajaan negeri Selangor yang terdiri hari ini bukan hak mutlak PKR sahaja. Bahkan bukan juga milik pakatan harapan. Kerajaan Selangor hari ini adalah milik pakatan rakyat yang telah terkubur yang mana di dalamnya dahulu terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Kita kena faham kedudukan negeri Selangor tidak sama dengan Pulau Pinang dan Kelantan. Meskipun, pada waktu itu PRU yang dimenangi adalah semasa PR masih wujud namun pengaruh PAS dan DAP di Kelantan dan PP sememangnya lebih signifikan berbanding PKR sepertimana diketahui umum. Adapun di Selangor, situasinya amat berbeza. Kerusi-kerusi di negeri Selangor dimenangi oleh anggota PR (PAS, PKR & DAP) secara hampir sama rata. PAS dengan 15 kerusi (hari ini 13), DAP 14 kerusi, manakala PKR pula dengan 13 kerusi.

Berdasarkan kajian dan fakta pilihan raya yang lalu, tiada mana-mana parti dalam pakatan rakyat yang benar-benar mendominasi sokongan mutlak rakyat di Selangor sekiranya bersendirian. Sebaliknya, sokongan yang diperolehi di negeri itu adalah hampir sama rata antara kesemua parti-parti komponen pakatan rakyat. Ianya terbukti pada PRK Sungai Besar apabila berlaku pertembungan tiga penjuru yang menyaksikan PH (PAN, DAP dan PKR) + Tun Mahathir (yang hari ini merupakan Pengerusi Bersatu) langsung tidak mampu menyaingi BN sebaliknya hanya memiliki 24 peratus sokongan undi.

Nasib yang sama juga menimpa PAS apabila hanya mampu meraih 22 peratus undi di PRK Sungai Besar. Data ini jelas menunjukkan bahawa mana-mana parti pembangkang tidak boleh mendabik dada mengatakan negeri Selangor adalah dikuasai mereka. Hakikatnya, negeri Selangor adalah negeri yang dimenangi kerana muafakat politik pakatan rakyat bukan atas dominasi mana-mana parti komponennya.

Mungkin pula akan ada yang bertanya, kalau negeri Selangor ini dimenangi kerana muafakat politik Pakatan Rakyat maka tidakkah wajar bagi EXCO PAS meletakkan jawatan memandangkan undi rakyat pada waktu itu adalah kerana PR dan bukannya kerana PAS semata-mata?

Benar, namun untuk memaksa hanya PAS yang meletakkan jawatan adalah tidak wajar. Sebagaimana disebutkan negeri ini dimenangi disebabkan muafakat pakatan rakyat yang mana ketika itu terdiri daripada PAS+DAP+PKR dan bukannya muafakat DAP+AMANAH+PKR atau Pakatan Harapan. Oleh itu, apa yang lebih wajar adalah semua parti dalam kerajaan negeri meletak jawatan dan DUN dibubarkan. Apabila DUN dibubarkan dan piliha raya diadakan barulah kita tahu siapa yang lebih menjadi pilihan rakyat negeri Selangor samada PH, PAS ataupun BN pada ketika ini.

Saya yakin jika DUN dibubarkan kita akan melihat betapa lemahnya muafakat pakatan harapan dan muafakat Gagasan Sejahtera berbanding muafakat pakatan rakyat yang telah terkubur. Hasilnya, kita akan dapati hakikat bahawa pakatan rakyat adalah muafakat politik yang paling utuh dan kukuh sepanjang sejarah politik pembangkang mengatasi prestasi Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, pakatan harapan mahupun Gagasan Sejahtera.

Semoga Allah menyedarkan para pemimpin kita!

Nur Yaya El-Zahra
Pelajar Ijazah Sarjana Penyelidikan,
Unversiti Malaysia Terengganu.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), selaku sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Wajarkah EXCO PAS letak jawatan? appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Wajarkah EXCO PAS letak jawatan?
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Wajarkah EXCO PAS letak jawatan?"

Back To Top