TANGGAL 18 Mac 2005, Amina Wadud telah memecah rekod dengan menjadi wanita pertama yang mengimamkan solat Jumaat. Pada hari tersebut, para wanita telah mengambil langkah untuk menghampiri peranan yang lazimnya dimainkan oleh golongan lelaki. Tetapi adakah dengan tindakan sedemikian, akan menyebabkan golongan wanita lebih mencapai kebebasan mengikut mafhum yang dikehendaki Tuhan?
Saya tidak rasa begitu.
Kita sering lupa bahawa Tuhan memuliakan wanita melalui kedudukan mereka di sisi Tuhan – bukannya melalui kedudukan mereka di sisi lelaki. Pejuang sekularisme dan feminisme di Barat dengan sengaja membuang peranan Tuhan sebagai pengukur kedudukan manusia. Mereka hanya meletakkan lelaki sebagai penanda aras pencapaian wanita. Sebagai akibat, pejuang feminisme Barat memaksakan wanita supaya sentiasa bersaing dengan lelaki. Dengan itu, wanita akan sentiasa berpegang dengan premis dan sangkaan yang salah. Fahaman feminisme membuatkan wanita meletakkan ukuran kejayaan hanya sekiranya mereka setara dengan pencapaian lelaki. Seolah-olah wanita tidak akan memenuhi fungsi diri mereka sebagai seorang manusia, selagi mana tidak menjadi seperti lelaki.
Apa yang tidak disedari oleh penganut fahaman feminisme ini adalah – Tuhan mengiktiraf kedudukan lelaki dan wanita mengikut sifat mereka yang tersendiri. Tuhan tidak memaksakan kayu ukur yang sama pada lelaki dan wanita, sedangkan mereka berbeza. Pada 18 Mac 2005 ini, wanita Muslim (yang diterajui Amina Wadud) telah melakukan kesilapan sepertimana pejuang feminisme di Barat.
Sejak 1400 tahun, telah sepakat para ulama’ bahawa golongan lelaki diletakkan sebagai imam dalam solat jemaah yang melibatkan lelaki dan wanita. Bagi wanita Muslim, mengapa perkara ini perlu dikeluh-kesahkan? Seseorang yang mengetuai solat jemaah, iaitu menjadi imam, tidak menyebabkan seseorang menjadi sakral atau mulia, mahupun menjadikan kerohaniannya lebih tinggi berbanding makmumnya.
Sesuatu ibadah ataupun apa juga perkara, tidak menjadi lebih mulia hanya kerana seorang lelaki perlu melakukannya. Bahkan menjadi imam solat jemaah, bukan jaminan seseorang lebih berkuasa berbanding yang lain. (Dalam solat jemaah umpamanya, wanita tidak menjadi hina atau kurang pahala hanya kerana menjadi makmum kepada seorang lelaki.) Sekiranya menjadi imam dalam solat jemaah menyebabkan seseorang menjadi lebih mulia, sudah tentu Rasulallah s.a.w telah melantik Aisyah r.a. atau Khadijah r.a. atau Fatimah r.a., iaitu wanita tersohor dan paling hampir dengan Rasulallah s.a.w. untuk menjadi imam. Wanita-wanita ini telah pun dijanjikan syurga – walau tidak pernah menjadi imam solat yang mempunyai jemaah lelaki dan perempuan.
Tapi kini, selepas 1400 tahun, ada pula wanita Muslim yang berkata “ini tidak adil” kerana hanya lelaki perlu jadi imam, dan bukannya wanita. Wanita Muslim yang terpengaruh dengan feminisme terlupa bahawa Tuhan tidak pernah memberikan hak keistimewaan kepada mereka yang memimpin. Seorang imam tidak menjadi lebih tinggi martabatnya di sisi Tuhan berbanding makmumnya.
Dalam masa yang sama, hanya wanita sahaja yang boleh menjadi ibu. Dan Tuhan telah memberikan kedudukan istimewa bagi seorang ibu. Rasulallah s.a.w. mengajar kita bahawa syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Seorang lelaki tidak akan pernah dapat kemuliaan sebagai seorang ibu. Jadi, adakah perkara ini juga suatu ketidakadilan?
Apabila ditanya, “Siapakah yang lebih layak menerima khidmat yang baik?” Rasulallah s.a.w. menjawab “ibumu” sebanyak tiga kali, dan kemudian barulah “bapamu” sebanyak sekali sahaja. Adakah ini suatu yang mendiskriminasi? Seorang bapa tidak akan dapat capai darjat seperti seorang ibu.
Apaila Tuhan memuliakan wanita dengan sifat-sifat kewanitaan yang tidak ada pada lelaki, kenapa pula kita menjadi sibuk untuk mencari harga diri dengan merujuk kepada sifat-sifat kelelakian. Wanita Muslim yang terpengaruh dengan feminisme telah silap menetapkan bahawa lelaki adalah kayu ukur kepada wanita, sehinggakan kayu ukur yang khusus bagi wanita dianggap sebagai sesuatu yang lebih rendah martabatnya.
Pada hemat pejuang feminis ini, adalah suatu penghinaan bagi wanita sekiranya mereka mempunyai sifat sensitif, menjadi ibu dan memiliki sifat keibuan. Kekuatan dan bersikap rasional (yang lebih sinonim kepada lelaki) dianggap lebih mulia daripada belas ihsan dan naluri kelembutan (yang lebih sinonim kepada wanita).
Sebaik sahaja para wanita menerima bahawa apa sahaja yang dimiliki dan dibuat lelaki adalah lebih baik daripada apa yang dimiliki dan dibuat wanita – wanita akan secara spontan ingin mengikuti sifat dan sikap lelaki, serta mengikut jejak peranan lelaki. “Sekiranya lelaki boleh buat, kami (wanita) juga mahu buat.” “Kalau lelaki menjadi imam solat berjemaah, kami (wanita) juga mahu jadi imam solat jemaah.” Tanpa disedari kita menganggap peranan kepimpinan di dunia sebagai prasyarat kedudukan tinggi di sisi Tuhan.
Seorang wanita Muslim tidak perlu merendahkan martabat dirinya dengan cara begini. Seorang wanita Muslim perlu meletakkan Tuhan sebagai pengukur kedudukan dirinya. Tuhan telah memberikannya nilai-nilai khusus, tanpa perlu lelaki untuk menentukan nilai-nilai khusus untuk menjadikan wanita mulia.
Dalam membuta-tuli ingin mengikut jejak langkah lelaki, sebahagian golongan wanita tercari-cari apakah caranya untuk menjadi lebih mulia seperti lelaki. Sehinggakan kita meninggalkan kelebihan-kelebihan sebagai seorang wanita, hanya kerana ingin meraih kedudukan sama seperti lelaki.
Kemudian wanita-wanita terbawa-bawa sifat ingin menjadi manusia “super” – ingin sempurna dalam segala segi sebagai seorang ibu, isteri dan surirumah, serta menjadi sempurna sebagai seorang yang bekerjaya. Walaupun tidak salah untuk wanita berjaya dalam profesionnya, ada impak-impak yang perlu ditangani kerana melakukan sesuatu melebihi fitrah yang ditetapkan ke atasnya.
Menjadi seorang wanita memberikan kita pelbagai kelebihan. Menjadi seorang wanita yang ingin diiktiraf sepertimana seorang lelaki, hanya akan merendahkan lagi kedudukan seorang wanita. Seorang wanita tidak akan mencapai kebebasan sebenar sehinggalah wanita berhenti cuba menjadi seperti lelaki. Hargailah keistimewaan dan perbezaan wanita berbanding lelaki.
Sekiranya diberi pilihan antara kekuatan dan belas ehsan – saya akan memilih belas ehsan. Dan sekiranya diberi pilihan antara kepimpinan di dunia dan syurga di kaki – saya akan memilih syurga.
Yasmin Mogahed, Reclaim Your Heart.
Diterjemah oleh Norhidayah Ismail
Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Yasmin Mogahed
The post Wanita tak jadi lebih mulia dengan ambil peranan lelaki: Yasmin Mogahed appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Wanita tak jadi lebih mulia dengan ambil peranan lelaki: Yasmin Mogahed
0 Komentar untuk "Wanita tak jadi lebih mulia dengan ambil peranan lelaki: Yasmin Mogahed"