Gema Semua Maklumat

Warga Turki ditangkap kerana IS pernah bertemu Najib, masuk MHI TV3

Warga Turki ditangkap kerana IS pernah bertemu Najib, masuk MHI TV3

BANGI, 12 Syaaban 1438H, Selasa – Pengetua warga Turki, Turgay Karaman, yang ditangkap polis atas dakwaan mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS, dilaporkan pernah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi gambar yang diperoleh menunjukkan Karaman yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Dialog Malaysia-Turki, bertemu Najib sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turki pada 2011.

Daripada beberapa gambar, ada yang menunjukkan Karaman mengiringi dan berbual dengan Najib serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Karaman ditangkap mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan aktiviti keganasan, di tempat letak kereta di Wisma E&C di Damansara, beberapa hari lalu, selepas didakwa mempunyai hubungan dengan militan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua warga Turki, iaitu Karaman dan Ihsan Aslan bukan diculik, sebaliknya ditangkap atas kaitan dengan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

Karaman adalah Pengetua Time International School di Ipoh, manakala Aslan pula adalah anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Turki.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, pasukan polis antikeganasan menyiasat Karaman dan Aslan kerana menyebar, mempengaruhi dan membiayai aktiviti berkaitan IS.

Bagaimanapun, sesetengah pihak di Turki mendakwa Karaman, walaupun berfikiran agak kritikal, tidak memenuhi kriteria sebagai penggerak IS.

Akaun media sosialnya hanya mempromosi pelbagai buku, termasuk makanan dan sufi, selain mengikuti rangkaian kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dan sekutu mereka.

Kekeliruan di sebalik tuduhan jenayah terhadap Karaman, yang tinggal di Malaysia sejak 14 tahun lalu, menimbulkan spekulasi bahawa dia mungkin menjadi mangsa kepada tindakan sulit dan buruan kerajaan Turki.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Karaman ditangkap oleh empat lelaki tidak dikenali yang memakai pakaian kasual yang mengiringinya dengan tangan diikat ke belakang. Bagaimanapun, polis berkata, anggota mereka yang menangkap Karaman.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan di kalangan laman web pembangkang di Turki, di mana mereka bimbang Karaman ditangkap ejen atau proksi Turki d Malaysia. Mereka bimbang dia akan dipaksa pulang ke Turki di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan sedang bertindak terhadap sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan pengkritiknya.

Bagaimanapun, Khalid berkata, tangkapan itu dilakukan bukan atas permintaan kerajaan Turki.

Khalid sebelum itu dilaporkan berkata, Karaman dan Aslan ditangkap bagi membantu siasatan kes banduan melarikan diri.

“Tetapi sehari kemudian, Menteri Dalam Negeri berkata mereka ada hubungan dengan IS,” kata peguam bela Karaman, Muhammad Faizal Faiz seperti dilaporkan The Guardian.

Tindakan kerajaan penuh dengan percanggahan dan tuduhan terbaharu berkaitan keganasan adalah pelik, katanya.

Malaysia dilaporkan telah menangkap dan mengekstradisi warga Turki yang disyaki mempunyai hubungan dengan Fethullah Gulen – rakyat Turki yang berada di Amerika Syarikat dan dituduh oleh Erdogan sebagai perancang rampasan kuasa di Turki, tahun lalu.

Menurut Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, tiga warga Turki dihantar pulang dari Kuala Lumpur, Oktober tahun lalu dan langkah itu adalah hasil perbincangan dengan Malaysia.

Aktivis Hak Asasi Manusia turut bimbang kedua-duanya akan dipenjara di Turki dan dituduh menjadi ejen kumpulan Gulen, yang dianggap Angkara sebagai pergerakan pengganas.

Walaupun, tidak diekstradisi, pihak berkuasa Malaysia berhak menahan mereka selama 28 hari tanpa dakwaan.

“Apapun jika anda hendak menahan seseorang dan tiada siapa yang mempersoalkannya, ia lebih mudah untuk menuduh seseorang itu terbabit dengan IS. Dan, adalah penting bagi kerajaan untuk membenarkan mereka bertemu keluarga mereka dan peguam,” kata Timbalan Pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Asia, Phil Robertson.

“Dia mengesahkan tidak terbabit dengan mana-mana kumpulan. Dia mungkin tidak menyokong Erdogan sekarang, tetapi dia mengundi Erdogan untuk dua pilihan raya lalu,” kata Muhammad Faizal.

Kumpulan Gulen pula dalam kiriman pesanan kepada Guardian berkata, mereka mempromosi keamanan, dialog antara agama dan pendidikan dan mempunyai ramai peserta, termasuk Karaman dan Aslan.

Satu lagi aspek mendorong penangkapan Karaman ialah membabitkan kepentingan Turki di mana hubungannya dengan seorang lagi individu yang dikehendaki Angkara.

Pada hari dia ditangkap, Karaman dikatakan dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat perundangan berhubung kehadirannya sebagai saksi bagi kes bekas pengarah sebuah universiti di Turki, Ismet Azcelik, yang dibuang berikutan kegagalan rampasan kuasa tahun lalu.

Azcelik ditangkap di Kuala Lumpur pada Disember lalu atas tuduhan menyerang pegawai imigresen yang cuba mengambil pasportnya. Dia ditahan selama 50 hari tanpa perbicaraan, sebelum dibebaskan selepas Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberinya status pelarian pada Januari lalu.

Ozcelik bagaimanapun dilaporkan ditangkap semula Khamis lalu. – Agensi

The post Warga Turki ditangkap kerana IS pernah bertemu Najib, masuk MHI TV3 appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Warga Turki ditangkap kerana IS pernah bertemu Najib, masuk MHI TV3
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Warga Turki ditangkap kerana IS pernah bertemu Najib, masuk MHI TV3"

Back To Top