Raja Abdullah bin Abdul Aziz al-Saud menerima kunjungan Yussuf al-Qaradawi di Riyadh pada 2009. – Gambar Reuters
BANGI, 29 Ramadan 1438H, Sabtu – Awal bulan ini, Arab Saudi bersama Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dengan menuduh Doha menyokong dan membantu ‘ekstremisme’ serta menyebabkan keadaan tidak stabil di rantau Teluk.
Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir memberitahu wartawan ketika lawatannya ke Paris dua hari selepas itu, Qatar mesti menghentikan sokongannya kepada Ikhwanul Muslimin dan Gerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas), sebelum negara Arab Teluk menyambung semula hubungan berkenaan.
Sejurus selepas itu, blok diketuai Arab Saudi mengeluarkan senarai ‘pengganas’ yang ada hubungan dengan Qatar, termasuk ulama terkenal yang tinggal di Doha, Yusuf al-Qaradawi – seorang ahli Ikhwanul Muslimin paling lama.
Tetapi, Arab Saudi bukannya selalu melihat Ikhwanul Muslimin sebagai satu ancaman kepada rantau itu. Malah, hubungan kedua-duanya kadang kala baik dan ada masanya tegang sejak pertemuan bersejarah antara bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdulaziz Al Saud dan pengasas pergerakan itu, Hassan al-Banna pada 1936.
Dengan rangkaian politik yang longgar berlaku pada 1928 oleh guru-guru sekolah di bandar pelabuhan Mesir, Ismailia – Ikhwanul Muslimin pada mulanya bertujuan menggalakkan pembaharuan sosial berteraskan Islam.
Sehingga pada 1940-an, pergerakan itu dianggarkan mempunyai setengah juta ahli aktif di seluruh Mesir dan ideanya telah sampai ke negara jiran lain. Cawangan tempatan ditubuhkan di seluruh negara yang menggerakkan sekolah, masjid dan kelab sukan.
Al-Banna melihat Ikhwanul Muslimin sebagai pergerakan yang menyeluruh dan kerap menggambarkannya sebagai ‘mesej Salafiyya, cara Sunni, kebenaran Sufi, organisasi politik, kumpulan atletik, kesatuan pendidikan budaya, sebuah syarikat ekonomi dan idea sosial’.
Pergerakan ini dengan cepat menjadikan kekuatan politik massa yang mencabar pengaturan tiga pihak yang memerintah Mesir sehingga Revolusi 1952: Monarki, pemerintahan kolonial British dan parti al-Wafd.
Pada masa sama, Ikhwanul Muslimin mengembangkan sayap bersenjata dengan nama ‘alat rahsia’, yang didakwa bertanggungjawab ke atas pembunuhan beberapa pegawai utama kerajaan Mesir, termasuk Perdana Menteri, Mahmour Nuqrashi pada tahun 1948.
Tidak lama selepas itu, al-Banna ditembak mati oleh ejen perkhidmatan perisikan Mesir.
Pada tahun 1952, sekumpulan pegawai tentera, menggelar diri mereka sebagai Pergerakan Pegawai Bebas, menggulingkan monarki Mesir dalam rampasan kuasa dengan kerjasama Ikhwanul Muslimin.
Tetapi hubungan menjadi buruk. Pergerakan Pegawai Bebas, yang diketuai Gamal Abdel Nasser, tidak bersetuju dengan wawasan Ikhwanul Muslimin untuk melaksanakan undang-undang syariah, sebaliknya lebih menyukai model sosialis sekular.
Berikutan kegagalan membunuh Gamal di Alexandria pada tahun 1954, yang mana Ikhwanul Muslimin dipersalahkan dan diharamkan, beribu-ribu ahlinya telah dibunuh, dipenjarakan, diseksa dan diasingkan.
Gamal kemudian menjadi Presiden Mesir pada 1956 dan memaksa Ikhwanul Muslimin menjadi pergerakan bawah tanah.
Bagaimanapun, tindakan keras kerajaan mencetuskan peralihan penting dalam ideologi Ikhwanul Muslimin yang jelas dalam tulisan-tulisan Sayyid Qutb, ahli terkemuka pergerakan itu.
Menulis dari penjara, Sayyid Qutb memperjuangkan gerakan bersenjata terhadap rejim Arab dan Barat, untuk menyebarkan nilai-nilai Islam dan kemudian digunakan oleh beberapa kumpulan pelampau untuk melakukan keganasan.
Bimbang dengan tindak balas kerajaan, ribuan anggota Ikhwanul Muslimin mendapatkan perlindungan di Arab Saudi dan kemudian berakar umbi dalam masyarakat Arab. Muncul sebagai negara baharu, Arab Saudi mendapati anggota pergerakan itu layak menjadi tenaga pengajar, birokrat dan jurutera yang diperlukannya.
Raja Faisal bin Abdulaziz, yang memerintah dari tahun 1964 hingga 1975, juga mendapati pergerakan itu menjadi suara yang beliau perlukan untuk mengimbangi penyebaran pan-Arabisme dan komunisme di rantau itu yang mengancam menjadikan Arab Saudi sebagai pusat gerakan.
Ringkasnya, Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin menganggap Gamal adalah musuh bersama.
Keadaan itu berterusan ketika pemerintahan Anwar Sadat yang menggantikan Gamal, yang mana Ikhwanul Muslimin diperkenalkan semula di arena politik Mesir, tetapi bukan parti politik secara rasmi.
Pencerobohan Soviet ke Afghanistan pada tahun 1979 merupakan satu lagi perkembangan yang memantapkan hubungan antara Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin.
Bersama Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi secara rahsia menyalurkan berbilion-bilion dolar kepada kumpulan mujahidin Afghanistan untuk menentang Soviet. Menerusi sumbangan derma yang dikutip, Ikhwanul Muslimin menjadi pergerakan yang kuat dalam mendirikan apa yang digelar ‘orang Arab Afghanistan’, yang kemudian menjadi inti kepada al-Qaeda.
Teapi ini tidak lama. Keharmonian diganggu oleh dua kunci perkembangan di rantau itu – Ikhwanul Muslimin mengalu-alukan revolusi Iran pada 1979 dan mengecam tindakan Arab Saudi menjemput pasukan negara asing dalam Perang Teluk.
Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein mengarahkan pencerobohan ke atas Kuwait pada 1990 dalam usaha untuk memperoleh rizab minyak negara. Terkejut dengan serangan itu, Arab Saudi dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) meminta AS dan negara Barat untuk bertindak ke atas ancaman Iraq di rantau itu – satu tindakan yang dikecam oleh Ikhwanul Muslimin.
Pergerakan Islam di Arab Saudi – Sahwa atau ‘Kebangkitan Islam’ – melancarkan kempen dalaman untuk menggerakkan masyarakat Arab menentang langkah kerajaan Arab Saudi membenarkan tentera asing menggunakan negara itu untuk menyerang Saddam. Kumpulan itu turut menulis beberapa surat terbuka kepada Raja Fahd mendesak dilakukan perubahan politik secara radikal.
Tindakan itu menunjukkan satu perubahan jelas daripada kebiasaan di mana pertubuhan agama mula berinterksi dengan sistem monarki.
Menjelang 1995, Arab Saudi menghancurkan pergerakan Sahwa, tetapi menyalahkan Ikhwanul Muslimin sebagai pengacau yang bertanggungjawab terhadap kejadian yang tidak disangka-sangka.
Serangan 11 September 2011 ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York, meletakkan batu tanda peralihan antara kerajaan Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin.
Berdepan tekanan AS supaya bekerjasama menentang keganasan, Arab Saudi mula bertindak ke atas pertubuhan sekutu Ikhwanul Muslimin, membuka peluang kepada media menyerang pergerakan itu – meninggalkan pendirian rasminya selama ini.
Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz al-Saud, secara terbuka mula menuduh Ikhwanul Muslimin sebagai ‘sumber segala kejahatan’ dan akar kepada masalah di dunia Arab dan mungkin dunia Islam.
Kemudian berlaku ‘Arab Spring’ yang terus mengeruhkan lagi hubungan. Tatkala dunia melihat kejatuhan satu demi satu apa yang dikatakan dunia diktator di Arab membabitkan Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman, Sahwa menggesa kerajaan untuk melakukan perubahan politik.
Beberapa petisyen ditandatangani dan disebarkan menerusi media sosial pada 2011, seperti ‘panggilan untuk pembaharuan’ ditandatangani oleh sejumlah besar ahli Sahwa, termasuk Nasir al-Umar; dan ‘ke arah hak dan institusi’ ditandatangani Salman al-Awda. Salman kemudian menulis lagi surat terbuka kepada Raja Abdullah pada Mac 2013.
Walaupun tidak ada skala pemberontakan yang berlaku di Arab Saudi sebagaimana ‘Arab Spring’ di negara-negara lain, keadaan itu mencetuskan kebimbangan Riyadh.
Kemunculan suasana politik baharu Islam di Mesir, tidak mengembirakan Arab Saudi, terutama apabila bekas Presiden Mohamed Morsi menyatakan kesediaan untuk mengadakan hubungan konstruktif dengan musuh Riyadh – Tehran.
Ini menyebabkan Arab Saudi, bersama Kuwait dan UAE menjanjikan AS$12 bilion kepada Mesir pada 2013, empat kali kombinasi pakej bantuan disediakan AS dan negara Eropah kepada Mesir, seminggu selepas Presiden Mesir pertama dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi digulingkan.
Setahun kemudian, Arab Saudi mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai ‘organisasi pengganas’ bersama suspek lain yang lebih jelas seperti Islamic State of Iraq and Syria (ISIL juga dikenali sebagai ISIS), serta beberapa kumpulan pejuang rakyat Syria.
Raja Abdullah yang memerintah Arab Saudi ketika itu mengumumkan hukuman penjara sehingga 20 tahun kepada sesiapa yang dituduh terbabit dengan ‘kumpulan pengganas’ dan berjuang di luar negara.
Tetapi pergerakan yang dianggap ‘kumpulan pengganas’ itu tidak menghalang Arab Saudi daripada menukar kedudukannya sekali lagi.
Pada 2015, Arab Saudi menganjurkan beberapa pertemuan pemimpin mereka dengan Ikhwanul Muslimin; pemimpin parti Islam Ennahda Tunisia, Rachid Ghannounci; pemimpin parti al-Islah di Yaman, Abdul Majeed Zindani; dan bekas pemimpin Hamas, Khaled Meshaal, – semuanya dilihat sebagai ingin berbaik-baik.
Sejak awal lagi hubungan antara Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin bergantung kepada satu faktor iaitu Arab Saudi. Sejarah membuktikan bahawa Riyadh berupaya beralih arah, bergantung kepada sasaran politiknya. – Al Jazeera
The post Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin: Daripada rakan kepada musuh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin: Daripada rakan kepada musuh
0 Komentar untuk "Arab Saudi dan Ikhwanul Muslimin: Daripada rakan kepada musuh"