BANGI, 29 Ramadan 1438H, Sabtu – Kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) adalah terhad dan tidak mempunyai hak untuk melakukan pendakwaan, kata bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika mengulas urusan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam wawancara eksklusif dengan Sin Chew Daily – yang pertama ditemubual media tempatan selepas menamatkan tugasnya sebagai Gabenor BNM – beliau mengakui antara tugas paling mencabar dalam kariernya adalah menguruskan soal 1MDB, kerana ramai yang menaruh harapan tinggi terhadap BNM.
“Banyak pihak berharap BNM boleh melakukan lebih banyak, namun, kuasa BNM terhad kerana tidak mempunyai hak untuk melakukan pendakwaan. Tetapi BNM sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana institusi yang boleh melakukannya,” katanya.
Katanya, BNM memiliki undang-undang paling sempurna, Akta Bank Negara Malaysia 2009, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan sebagainya bagi melindungi sistem kewangan dikendalikan dengan telus, stabil dan sihat.
“BNM telah mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB. Saya boleh katakan jumlah kompaun ini adalah ‘paling tinggi dalam sejarah negara’. Hanya inilah yang boleh dilakukan oleh BNM dalam kuasa yang terhad,” katanya.
Pada 28 April 2016, BNM mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. 1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun tersebut.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, BNM tidak menjelaskan nilai sebenar kompaun pentadbiran yang dikenakan terhadap 1MDB.
Kira-kira dua minggu kemudian, Gabenor BNM yang baru dilantik, Datuk Muhammad Ibrahim memberitahu pihaknya telah menamatkan siasatan di bawah bidang kuasanya terhadap hal ehwal 1MDB, tetapi enggan menjelaskan nilai kompaun yang dikenakan ke atas 1MDB, memandangkan ia bertentangan dengan amalan BNM bagi mendedahkan kuantum yang dikenakan terhadap individu khusus atau entiti, kepada awam.
Ditanya apakah beliau kecewa dengan hasil siasatan 1MDB, kata Zeti, sebagai salah seorang pegawai dalam BNM, seharusnya tidak boleh berperasaan sedemikian kerana ia akan menjejaskan tumpuan terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan.
“Kakitangan BNM tidak sama dengan orang lain. Kami mesti belajar menumpukan perhatian terhadap tugas. Ini kerana hasil daripada kerja kami adalah untuk rakyat dan dunia korporat, bukan terhadap perasaan peribadi.
“Ketika menghadapi saat kecewa, kata-kata dorongan diberikan antara sesama ahli dalam kumpulan kami adalah amat penting. Kami sedar BNM amatlah penting untuk negara. Kami tidak mahu BNM dirosakkan. Inilah yang saya selalu utamakan,” katanya.
The post Bank Negara tak ada kuasa dakwa 1MDB, kata Zeti appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bank Negara tak ada kuasa dakwa 1MDB, kata Zeti
0 Komentar untuk "Bank Negara tak ada kuasa dakwa 1MDB, kata Zeti"