RAMADAN menutup tirai, 1 Syawal menjelma mengajak umat Islam merayakan kesyukuran dan kegembiraan selepas berjaya berperang melawan hawa nafsu selama sebulan.
Ramadan penuh pengorbanan dan paling ditunggu dan disukai. Banyak kegembiraan buat kita dalam bulan Ramadan dan ketika menyambut Aidilfitri. Ia mengukur kejayaan latihan rohani kita dalam kesabaran, kasih sayang, belas ihsan, rahmat dan toleransi.
Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada keinginan makan dan minum pada siang hari. Ia melangkaui perkembangan rohani seseorang. Kelaparan yang kita rasai sepatutnya menjadi contoh bagaimana kelaparan yang dirasai oleh orang yang kurang bernasib baik, yang fakir dan miskin.
Sebab itu, ketika Ramadan kita diwajibkan membayar zakat fitrah kepada yang layak menerimanya bagi memurnikan dan menyempurnakan lagi puasa kita.
Dan di penghujung Ramadan pula, kita sepatutnya memberi perhatian jangka panjang, khususnya untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Lalu, Aidilfitri adalah hari dan peristiwa di mana kita menunjukkan kesyukuran kepada Allah atau segala berkat yang dinikmati sepanjang bulan Ramadan. Kita akan sama-sama bertakbir, bersolat sunat Aidilfitri, kunjung mengunjungi mengeratkan siraturahim dan saling bermaaf-maafan.
Pada kesempatan ini juga, Pedang ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua peminat dan pembaca tak kira di mana berada.
Pedang tahu dalam menulis dan mengkritik pastinya ada yang akan terasa di hati. Namun, Pedang ikhlas berjuang demi Islam demi bangsa Melayu. Memang benar tiada yang mengetahui sama ada kita ikhlas atau tidak, kecuali Allah Taala.
Bila bercakap soal Islam, soal Melayu, sememangnya Pedang agak sensitif. Dan, Pedang memberi jaminan akan berusaha mempertahankan Islam dan Melayu dengan penulisan.
Pedang juga tahu ramai yang marah dan mengutuk cara penulisan Pedang yang tidak ada tapis-tapis. Kecaman sudah biasa bagi Pedang yang telah lama berkecimpung dan meredah onak duri sebagai wartawan. Suka dan duka.
Keinsafan itu mengajar Pedang tekad mempertahankan Islam dan Melayu.
Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Kata Pedang: Mudah-mudahan Pedang tidak perlu mengangkat ‘pedang’ untuk mempertahankan Islam dan Melayu.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post Maaf Zahir Batin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Maaf Zahir Batin
0 Komentar untuk "Maaf Zahir Batin"