Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 3 Syawal 1438H, Selasa – Bila agaknya Datuk Zaid Ibrahim berdoa kepada Tuhannya? Bila saatnya?, demikian soal Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat (LDPP), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Beliau menyelar bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang membidas tindakan juruterbang AirAsia yang meminta penumpang penerbangan Perth-Kuala Lumpur berdoa ketika pesawat mengalami masalah teknikal.
“Di dalam al Quran di banyak tempat, Allah menggambarkan saat kegetiran terumbang-ambing dibadai gelora besar di tengah lautan (apatah lagi kalau di langit tinggi seperti kes penerbangan AirAsia semalam), seluruh penumpang kapal yang tak pernah ingat Allah pun akan mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan dan pembabasan daripada kecelakaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ia adalah fitrah manusia meskipun hidup dalam keadaan leka untuk mengingati Allah atau penciptanya.
“Saat bersabung nyawa disapa takdir alam milik-Nya adalah saatnya Allah tunjukkan kepada manusia hakikat kehidupan. Mereka perlukan Allah. Allah-lah empunya langit bumi dan segala kejadiannya.
“Saya doakan saatnya nanti, fitrah dato Zaid Ibrahim akan tersembul keluar. Biar Allah tunjukkan dengan hikmat-Nya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada tuhannya.
“Orang berpuasa di bulan Ramadhan akan merindui doa. Orang tak puasa memang sah akan menolak doa. Saya tak jumpa lagi kes orang puasa tolak doa. Mungkin ini kes pertama?,” katanya.
Zaid menerusi kenyataan di Twitter mendakwa syarikat penerbangan tambang murah itu tidak seharusnya merestui tindakan juruterbangnya.
“Juruterbang AirAsia gesa penumpang berdoa ketika penerbangan Perth menghadapi masalah. Saya lebih suka juruterbang tidak beritahu saya bahawa kematian semakin hampir.
“Juruterbang seharusnya memberi harapan, dan meninggalkan yang lain kepada Tuhan dan para penumpang.Sekiranya AirAsia mahu ceburi bidang agama; lantik imam dan paderi yang betul,” katanya.
Pesawat AirAsia milik Malaysia dilaporkan terpaksa berpatah balik ke Australia berikutan masalah teknikal. Pesawat Airbus A330 dari Perth itu mula dikesan mengalami masalah berkenaan kira-kira 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.
The post Bila agaknya Zaid Ibrahim berdoa, soal Nik Abduh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bila agaknya Zaid Ibrahim berdoa, soal Nik Abduh
0 Komentar untuk "Bila agaknya Zaid Ibrahim berdoa, soal Nik Abduh"