Gema Semua Maklumat

DoJ kata hampir RM128.29 juta wang 1MDB diguna beli barang kemas Rosmah

DoJ kata hampir RM128.29 juta wang 1MDB diguna beli barang kemas Rosmah

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1438H, Jumaat – Memetik laporan Reuters dan menggunakan tajuk ‘Malaysia’s first lady linked to jewellery worth $30 mn bought with 1MDB funds’, akhbar berbahasa Inggeris India – Hindustan Times – bagaimanapun meletakkan nama Rosmah Mansor sebagai wanita pertama Malaysia.

Akhbar berkenaan turut meletakkan tajuk kedua iaitu ‘Almost $30 million from the scandal-hit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) was used to buy jewellery for Prime Minister Najib Razak’s wife Rosmah Mansor, according to filings by the US justice department’ (hampir AS$30 juta wang daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diguna untuk membeli barang kemas buat isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengikut saman awam difailkan Jabatan Keadilan (DoJ) AS).

Akhbar berkenaan memetik laporan Reuters yang turut menyatakan pembelian itu termasuk, permata merah jambu 22 karat yang dipasang pada rantai leher.

Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles semalam tidak menamakan Najib atau Rosmah, sebaliknya menyatakan barang kemas itu dibeli untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Bagaimanapun, Reuters melaporkan wang diguna untuk membeli barang kemas itu telah melalui akaun peribadi Najib.

Sumber Malaysia dan Kerajaan Amerika sebelum ini mengesahkan bahawa MO1 dirujuk kepada Najib.

Set kalung berlian itu sendiri berharga RM116.75 juta, menurut saman terbaharu itu. Saman awal DoJ difailkan pada Julai tahun lalu.

Tuduhan itu sekali gus menyediakan ‘peluru’ buat saingan politik Najib, yang kerap mengkritik Rosmah kerana mewah berbelanja dan pada masa tidak sesuai buat pemimpin Malaysia itu, yang dijangka mengadakan pilihan raya umum akhir tahun ini.

Reuters menyebut pembantu Rosmah tidak memberi respon kepada komen yang diminta.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan bimbang dengan “tindakan tidak perlu dan tidak sepatutnya dalam menamakan perkara-perkara tertentu dan individu yang hanya relevan kepada manipulasi politik domestik dan campur tangan”. Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku.

Sejumlah RM19.24 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB, kata DoJ. Dana pelaburan 1MDB ditubuhkan oleh Najib pada 2009 bagi mempromosi ekonomi.

DoJ berusaha untuk merampas sejumlah RM7.27 bilion aset yang dibeli menggunakan dana yang disalahguna, termasuk lukisan Picasso yang diberi kepada pelakon Leonardo DiCaprio, dan hak untuk dua filem Hollywood.

“Wang ini diguna untuk membiayai gaya hidup mewah yang dikatakan dilakukan bersama konspirator, dengan perbelanjaan dan merugikan rakyat Malaysia,” kata pemangku pembantu Peguam Negara AS, Kenneth Blanco, dalam satu kenyataan.

Menurut laporan, pembelian barang kemas itu telah diatur oleh jutawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, yang juga dituduh memberi hadiah RM13.68 juta kepada DiCaprio.

Jurucakap DiCaprio berkata, pelakon itu sudah memulakan prosiding untuk memindahkan hak milik lukisan Picasso itu kepada kerajaan Amerika, selain mula mengembalikan hadiah yang diterimanya daripada Jho Low yang ada kaitan dengan kes 1MDB.

Reuters yang memetik laporan saman itu juga menunjukkan barang kemas kepada Rosmah dibeli dengan wang yang melalui akaun Najib. Barang kemas, lukisan Picasso, dibeli dengan dana yang dikesan hasil daripada penyelewengan bon yang ditawarkan 1MDB pada 2013.

Menurut saman itu, kalung berlian berkenaan dibeli pada 2013, hanya sebulan selepas AS$680 juga dipindahkan ke akaun peribadi Najib di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia berkata, wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Kalung berlian itu dibeli dari Lorraine Schwartz di New York yang turut mereka bentuk barang kemas buat selebriti terkenal dunia seperti Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez.

Saman terbaharu itu turut mendedahkan pesanan Jho Low kepada Schwartz pada Jun 2013 yang menyebut “Need a 18 carrot (carat) pink heart diamond vivid or slightly short of vivid. On diamond necklace urgent”.

Sebulan kemudian Schwartz menunjukkan kalung itu kepada sekumpulan individu, termasuk Rosmah, di atas sebuah kapal layar mewah dan besar di dunia – Topaz – di Monaco. Jho Low menyewa kapal layar berukuran 147 meter itu selama tujuh hari pada awal Julai 2013, kata laporan DoJ.

Rosmah dan Jho Low sekali lai bertemu Schwarts di sebuah hotel di New York pada September tahun yang sama, ketika Najib berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kalung itu akhirnya diserahkan kepada seorang rakan Rosmah yang tidak dinamakan pada 2014 di Hong Kong, yang kemudian menyerahkan kepada Rosmah di Kuala Lumpur, kata DoJ.

Jho Low juga menguruskan pembelian 27 barang kemas lain bernilai RM5.56 juta kepada Rosmah pada 2014.

Saman DoJ itu juga menghuraikan bagaimana Jho Loe membelanjakan kira-kira RM38.49 juta pada 2014 untuk membeli barang kemas kepada model Australia, Miranda Kerr. – Reuters/Hindustan Times

https://drive.google.com/file/d/0B5FCKhZD3vQtLWppYzAxNXRVd2M/view

The post DoJ kata hampir RM128.29 juta wang 1MDB diguna beli barang kemas Rosmah appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di DoJ kata hampir RM128.29 juta wang 1MDB diguna beli barang kemas Rosmah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "DoJ kata hampir RM128.29 juta wang 1MDB diguna beli barang kemas Rosmah"

Back To Top