Gema Semua Maklumat

Isu Nazri, Sabah dan Sarawak selesai

Isu Nazri, Sabah dan Sarawak selesai

PUTRAJAYA, 20 Ramadan 1438H, Khamis – Isu membabitkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sabah telah selesai.

Bercakap perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Kabinet semalam mengarahkan supaya masalah itu diselesaikan dan tiada lagi kenyataan dikeluarkan, sama ada oleh pemimpin kerajaan pusat atau negeri.

“Saya juga sudah berjumpa Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman) dan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Abang Johari Abang Openg) semalam secara peribadi.

“Kita sudah tutup buku dan buka buku baharu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Bengkel Pembaharuan Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan cukai pelancongan itu akan tetap diteruskan seperti dijadualkan bermula 1 Julai ini.

“Kita merasakan bahawa masalah promosi pelancongan ini memerlukan dana dan terdapat negeri yang mempunyai kutipan cukai yang sedikit dan ada negeri yang banyak.

“Apa pun (hasil cukai) akan diguna pakai untuk promosi produk pelancongan, bukan hanya mengikut negeri tetapi mengikut bidang atau kepentingan produk pelancongan,” katanya.

Ditanya sama ada Sarawak menarik balik keputusannya untuk keluar dari Tourism Malaysia, Ahmad Zahid menegaskan perkara itu sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa kerajaan supaya menangguh pelaksanaan cukai pelancong di Sabah dan Sarawak kerana khuatir cukai baharu itu akan membawa kesan kepada industri pelancongan.

Gesaan menteri baharu Sarawak itu diselar Mohamed Nazri yang menganggap Abdul Karim sebagai menteri ‘setahun jagung’ dan diminta tidak berlagak samseng.

Mohamed Nazri baru-baru ini memaklumkan, pelaksanaan cukai pelancongan akan tetap diteruskan bermula 1 Julai ini yang menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 satu malam untuk sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

The post Isu Nazri, Sabah dan Sarawak selesai appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isu Nazri, Sabah dan Sarawak selesai
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Isu Nazri, Sabah dan Sarawak selesai"

Back To Top