SHAH ALAM, 7 Ramadan 1438H, Jumaat – Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa tidak perlu mencipta sebarang alasan, sebaliknya wakil rakyat PKR itu perlu segera memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh umat Islam.
Timbalan Pengerusi Alumni Belia 4B Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah berkata, tindakan Sivarasa menjadikan masjid sebagai pentas berpolitik dianggap perbuatan yang disengajakan.
“Sebagai wakil rakyat di Selangor adalah mustahil Sivarasa tidak memahami peraturan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melarang masjid dan surau dijadikan pentas untuk berpolitik, apatah lagi beliau bukan beragama Islam.
“Sivarasa perlu meminta maaf secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin dan seluruh umat Islam. PKR juga perlu membuktikan bahawa mereka parti yang menghormati institusi diraja dengan mengambil tindakan ke atas Sivarasa,” katanya dipetik Utusan.
Minggu lalu, Sivarasa dilaporkan memasuki masjid itu sebagai mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum didakwa menyampaikan ceramah berkaitan politik ketika berada di dalam dewan solat.
Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, Pengerusi Rejim Ubah Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar pula menganggap perbuatan Sivarasa atas dasar kepentingan politik .
Katanya, jika pemimpin PKR itu peka dengan soal sensitiviti agama Islam, Sivarasa tidak akan sesekali menjadikan ruang solat untuk berpolitik kerana sebarang aktiviti termasuk sumbangan kepada orang ramai boleh dilakukan di pekarangan kawasan masjid.
The post Jangan dolak dalih, NGO tuntut Sivarasa minta maaf appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Jangan dolak dalih, NGO tuntut Sivarasa minta maaf
0 Komentar untuk " Jangan dolak dalih, NGO tuntut Sivarasa minta maaf "