Gema Semua Maklumat

Kebebasan dalam Islam vs kebebasan dalam liberalisme

Kebebasan dalam Islam vs kebebasan dalam liberalisme


Andai kebenaran itu menuruti hawa nafsu manusia, maka pasti binasalah langit dan bumi serta semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka peringatan (untuk) mereka (al-Quran) akan tetapi mereka berpaling daripada peringatan tersebut.” (Surah Al-Mukminun, ayat 71)

Dan janganlah kamu mengikuti orang yang telah kami lalaikan hatinya daripada mengingat Kami, serta menuruti hawa (nafsu)nya, dan (semua) urusannya menjadi rosak.” (Surah Al-Kahfi, ayat 28)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, kebebasan hakiki yang mendatangkan kebahagiaan dan kesenangan hidup bagi manusia tidak mungkin dikecapi dengan meninggalkan batas-batas dan peraturan agama bahkan sebaliknya ia membawa kepada kesempitan hidup dan belenggu yang sebenar, sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya:

Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya dia (akan merasakan) kehidupan yang sempit (di dunia) dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Taha, ayat 124)

Sebaliknya, jika kita patuh kepada Allah dan mentaati segala hukum dalam syariat Islam, kita akan perolehi kebahagiaan hakiki.

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik (di dunia), dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka (di akhirat) dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97)

Para ulama salaf menafsirkan makna “kehidupan yang baik (di dunia)” dalam ayat di atas dengan “kebahagiaan (hidup)” atau “rezeki yang halal dan baik” dan kebaikan-kebaikan lainnya yang meliputi semua kesenangan hidup.

Maka membebaskan diri daripada aturan-aturan agama Islam dengan alasan kebebasan sebenarnya menjerumuskan diri ke dalam penjara hawa nafsu dan belenggu syaitan yang membawa kepada kesengsaraan dan penderitaan berkepanjangan di dunia dan akhirat.

Begitulah ideologi dan pemikiran yang dibawa oleh liberalisme. Ia adalah konsep Barat yang dibawa masuk ke dalam negara kita dengan bertunjangkan kononnya membawa unsur hak asasi manusia, iaitu kebebasan untuk buat apa sahaja termasuk perkara kufur dan maksiat tanpa sekatan dan halangan dengan berpandukan akal dan logik serta hawa nafsu.

Kalau kita kaji sejarah liberalisme, pada zaman kegelapan di Barat pada 400-1500 Masihi, paderi-paderi melalui kitab-kitab dan amalan-amalan mereka yang sesat berkuasa mutlak dan mencengkam kehidupan masyarakat ketika itu. Apa sahaja yang dilakukan mesti mendapat restu gereja dan apa yang bertentangan dengan amalan gereja ditentang dan dihukum mati seperti dibakar dan lain-lain.

Apabila penemuan sains menunjukkan adanya penyelewengan daripada kebenaran dalam doktrin-doktrin gereja, maka saintis merumuskan bahawa medan sains dengan agama berasingan, tidak ada kena-mengena. Dengan itu, lahirlah satu ajaran yang ekstrem yang menolak terus agama mereka seperti liberalisme.

Oleh itu, pemikiran liberalisme ini sebenarnya menolak Tuhan, menolak agama dan memberi kebebasan kepada individu untuk berbuat apa sahaja dan jadilah agama itu sebagai hak peribadi dan amalan peribadi. Oleh itu, kerajaan dan jabatan agama tiada kuasa atas mereka kerana akal dan hawa nafsu mengatasi segalanya. Dengan demikian, bebaslah mereka mengamalkan kepercayaan mereka menurut kehendak mereka seperti solat berimamkan wanita dan solat bersama-sama lelaki dan perempuan dalam satu saf seperti yang berlaku di sebuah masjid di Berlin, Jerman minggu lalu serta iftar gay ramai-ramai minggu lepas dan perkara pelik lain yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Inilah sebenarnya cara musuh-musuh seperti Yahudi dan Kristian Zionis cuba nak menyesatkan kita umat Islam iaitu membebaskan kita dengan merungkai akidah kita, melemahkan jati diri kita dan akhirnya kita menolak agama. Begitulah juga caranya syaitan menyesatkan Bani Adam daripada tugas dan peranannya untuk menyembah Allah.

Sebaliknya kalau kita lihat, asas utama Islam, iaitu tauhid, yang bermaksud beribadah dan menghambakan diri hanya kepada Allah Ta’ala semata dan berpaling daripada penghambaan diri kepada selain-Nya, adalah bukti terbesar yang menunjukkan adanya kebebasan yang sebenarnya dalam Islam.

Di samping itu, setiap manusia dilahirkan mempunyai kecenderungan untuk menghambakan diri dan tunduk kepada sesuatu, maka jika kecenderungan ini tidak dikerahkan kepada penghambaaan diri yang sebenar, iaitu kepada Allah Ta’ala, maka syaitanlah yang akan memandunya menjadi hamba bagi hawa nafsunya.

Semua aktiviti yang dilakukan oleh pendukung fahaman sesat liberalisme ini iaitu mengadakan iftar gay, masjid liberal, imam gay, dan lain-lain merupakan satu proses normalisasi yang cuba diterapkan ke dalam masyarakat agar menerima segala pemikiran dan aktiviti mereka sebagai normal dan boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Maka, berwaspadalah dengan apa yang dimomokkan kepada kita oleh geng-geng liberal ini terutama kepada anak-anak muda kita yang mudah terpengaruh dengan fahaman sesat ini kerana jahil agama. Ibu bapa perlu ambil perhatian dan pantau aktiviti anak-anak mereka serta didiklah mereka dengan ilmu akidah yang benar dan ibadah yang sahih.

Dr Norzila binti Baharin
Pengerusi Biro Komunikasi dan Media
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Kewajipan membongkar pendukung fahaman sesat

The post Kebebasan dalam Islam vs kebebasan dalam liberalisme appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kebebasan dalam Islam vs kebebasan dalam liberalisme
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Kebebasan dalam Islam vs kebebasan dalam liberalisme"

Back To Top