PUTRAJAYA, 6 Ramadan 1438H, Khamis – Universiti awam Malaysia bakal mencatatkan peningkatan kedudukan dalam keputusan QS World University Ranking yang akan diumumkan pada 8 Jun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ‘khabar gembira’ itu sudah sampai kepada pengetahuannya namun ia tidak boleh dimaklumkan sehingga pengumuman rasmi dibuat.
Beliau turut memberi bayangan bahawa lima universiti penyelidikan akan mencatat peningkatan kedudukan apabila keputusan itu diumumkan kelak.
“Atas kesungguhan dan dedikasi kerja yang ditunjukkan oleh semua pentadbir universiti, saya percaya universiti kita yang berada di bawah akan terus melonjak dalam kedudukan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Ukhuwah Ramadan bersama warga kementerian di sini hari ini.
Berdasarkan kajian dikeluarkan QS World University Ranking 2015/2016, Universiti Malaya (UM) dari kedudukan 146 pada tahun sebelumnya meningkat kepada 133 pada tahun lepas, Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 331 kepada 270, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari 303 kepada 288 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 312 kepada 302.
Idris merakamkan penghargaan kepada semua Naib Canselor, Pengerusi serta Lembaga Pengarah universiti dan warga kementerian atas peranan dalam memartabatkan dan meningkatkan kedudukan universiti tempatan dalam kelompok unuversiti lain di dunia.
Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 143 kakitangannya yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah. – Bernama
The post Kedudukan universiti awam dijangka meningkat dalam QS World University Ranking appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kedudukan universiti awam dijangka meningkat dalam QS World University Ranking
0 Komentar untuk "Kedudukan universiti awam dijangka meningkat dalam QS World University Ranking"