KOTA BHARU, 5 Syawal 1438H, Khamis – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tidak sekali-kali mengizinkan kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara ini.
Beiau berkata, ianya penting jika tidak mahu keadaan porak-peranda di beberapa negara Asia Barat berlaku di negara ini akibat diperalat oleh kuasa asing.
Mengulas lanjut, Shukri berkata, sejarah membuktikan sebuah empayar unggul seperti kerajaan Uthmaniyyah di Turki serta Kesultanan Melayu Melaka runtuh akibat campur tangan asing.
‘‘Pesan Nabi Muhammad SAW, jangan biarkan diri digigit ular dua kali dalam lubang yang sama. Jadi, kenapa kita perlu ambil risiko meminta bantuan kuasa asing sebagaimana pernah berlaku dulu bagi menyelesaikan hal dalaman negara.
‘‘Kita tidak boleh biarkan Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam dijadikan ‘ayam laga’ kepada kuasa asing ini,’’ katanya yang dipetik akhbar tempatan.
Sabtu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa semua parti politik di negara ini menolak campur tangan kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara kerana tindakan itu bertentangan dengan ajaran Islam.
Mohamad Shukri berkata, kuasa-kuasa asing itu mungkin menabur pelbagai janji manis, namun dalam masa sama, mereka sentiasa mencari jalan memasang perangkap bagi menjatuhkan sesebuah negara Islam.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd Wahid pula berkata, Malaysia tidak perlu ‘mengimport’ kuasa asing dalam menyelesaikan isu-isu dalaman kerana negara sudah memiliki tenaga kepakaran yang mencukupi dalam semua aspek.
“Sekiranya negara ini mempunyai cara sendiri dan mampu menangani setiap isu yang timbul, mengapa perlu meminta bantuan jiran atau campur tangan negara lain.
‘‘Malah, negara lain juga ada meminta kepakaran kita dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Oleh itu, saya tidak nampak keperluan negara lain mencampuri urusan Malaysia dan kita perlu menolaknya,” katanya.
Malah, katanya, dalam Islam sendiri ada menyatakan, seharusnya permasalahan yang wujud itu diselesaikan dengan cara terbaik termasuk bermusyawarah, bertolak-ansur dan tidak perlu dihebohkan serta tanpa membuka pekung di dada.
The post Malaysia jangan sekali-kali izinkan campur tangan asing: Mufti Kelantan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Malaysia jangan sekali-kali izinkan campur tangan asing: Mufti Kelantan
0 Komentar untuk "Malaysia jangan sekali-kali izinkan campur tangan asing: Mufti Kelantan"