KOTA BHARU, 9 Ramadan 1438H, Ahad – Negara memerlukan ‘pemandu’ baharu bagi memastikan ia dibawa ke arah jalan yang lurus.
Bercakap perkara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ‘pemandu’ sedia ada ketika ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit.
Malah, katanya, pemandu itu juga pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya.
“Itulah kaitan sebenar antara GST dan BR1M. Kita mengakui bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh UMNO-BN adalah punca kepada masalah negara.
“Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat memerlukan ‘pemandu’ baharu yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi juga turut memahami jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.
Selain itu, pemandu yang baharu itu mesti juga bertindak mengikut panduan al-Quran dan hadis.
“Pemandu ini tidak hanya sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya.
“PAS telah mengutarakan kerajaan teknokrat sebagai penyelesaian. Kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baharu dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut,” katanya.
The post Malaysia perlukan ‘pemandu’ baharu: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Malaysia perlukan ‘pemandu’ baharu: PAS
0 Komentar untuk "Malaysia perlukan ‘pemandu’ baharu: PAS"