Gema Semua Maklumat

Malu bangsa Melayu berketuakan pencuri, perompak: Muhyiddin

Malu bangsa Melayu berketuakan pencuri, perompak: Muhyiddin

BANGI, 22 Ramadan 1438H, Sabtu – Amat memalukan apabila Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kecurian wang 1MDB sebagai ‘the greatest theft the world has ever known’ dan perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, dokumen DoJ mendedahkan dengan terperinci bagaimana sebahagian daripada keseluruhan RM19.2 billion yang dicuri daripada 1MDB telah digunakan oleh Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz, untuk membeli kapal layar, jet peribadi, hartanah mewah, lukisan mahal dan pelbagai barangan kemas di AS.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, wang berkenaan juga telah digunakan untuk membiayai kehidupan mewah dan berfoya-foya Jho Low dan rakan-rakannya, termasuk membayar hutang judi.

“Lebih mengejutkan, turut didedahkan ialah sejumlah RM128 juta telah digunakan untuk membeli pelbagai set barangan kemas, termasuk berlian 22-karat, untuk dihadiahkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor. Sepertimana yang telah didedahkan sebelum ini, sebanyak RM2.6 bilion wang 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

“Tindakan terbaharu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman ke atas Jho Low dan sekutunya untuk merampas aset bernilai RM2.3 bilion yang diperolehi dengan menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB sekali lagi mendedahkan kepincangan pentadbiran Najib Razak.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang Perdana Menteri yang mempunyai kuasa penuh ke atas 1MDB boleh membiarkan wang berbilion ringgit dicuri daripada syarikat milik negara. Wang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat sebaliknya telah diseleweng untuk kegunaan peribadi, teman rapat dan ahli keluarga, termasuk isteri dan anak tiri Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Kelmarin, DoJ memfailkan saman pelucutan hak terbaharu di Mahkamah Daerah Los Angeles bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.


https://www.justice.gov/usao-cdca/pr/united-states-seeks-recover-approximately-540-million-obtained-corruption-involving


Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya tindakan pendakwaan jenayah ke atas individu yang mencuri wang 1MDB akan menyusul selepas ini.

“Malangnya, Peguam Negara Malaysia yang berkuasa penuh untuk mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam perlakuan jenayah tidak mengambil sebarang tindakan ke atas individu-individu yang dinyatakan secara jelas telah mencuri wang 1MDB, termasuk Malaysian Official One yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak.

“Malah, Peguam Negara tanpa segan silu membuat kenyataan bahawa pihaknya tidak mendapati sebarang perlakuan jenayah dilakukan oleh sesiapapun dalam kes 1MDB. Mungkin Peguam Negara Malaysia perlu menelaah semula teks undang-undang untuk mendapati bahawa mencuri wang adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, laporan DOJ menyebut sebanyak RM20 bilion wang 1MDB telah dicuri oleh Najib dan konco-konconya, tidak termasuk hutang syarikat pelaburan negara itu yang kini ditanggung oleh kerajaan berjumlah RM52 bilion.

Muhyiddin berkata, ini adalah wang rakyat yang sepatunya digunakan untuk kepentingan rakyat.

“Bayangkan wang sebanyak RM20 bilion yang ‘hilang’ itu sepatutnya boleh digunakan untuk membina 500 buah sekolah dengan purata kos RM40 juta sebuah atau 800 buah klinik kesihatan dengan purata kos RM25 juta sebuah. Tetapi oleh kerana pemimpin tidak amanah, manfaat ini tidak dapat dikecapi oleh rakyat. Malah, rakyat pula yang terpaksa menanggung beban dengan membayar pelbagai cukai untuk menampung perbelanjaan kerajaan.

“Saya tidak dapat bayangkan Najib masih boleh berdiri sebagai Perdana Menteri setelah segala kecurangannya didedahkan satu persatu. Teramat malu bangsa kita berketuakan seorang pencuri dan perompak,” katanya.

Beliau juga hairan kenapa Jabatan Peguam Negara Malaysia sebagai institusi yang sepatutnya melindungi kepentingan negara, lumpuh untuk bertindak dari segi undang-undang sedangkan DOJ telah memfailkan saman untuk merampas aset yang diperoleh menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB?

“Jika wang telah dicuri, maka tentulah ada orang yang mencurinya. Adakah Peguam Negara sengaja hendak melindungi Najib dan konconya sedangkan hak rakyat dirampas oleh Najib?

“Justeru, atas dasar prinsip dan maruah, Peguam Negara Malaysia mesti bertindak mendakwa Najib dan konco-konconya. Jangan beri alasan tiada bukti. Saya tahu agensi penyiasat telah mengumpulkan bukti yang cukup untuk mendakwa Najib.

“Jika Peguam Negara seorang yang bermaruah, beliau mesti bertindak memulakan proses pendakwaan dengan segera. Saya ingin mengingatkan Peguam Negara. Jangan halang proses keadilan kerana tanggungjawab kamu adalah untuk melaksanakan keadilan. Ingat, Allah s.w.t sentiasa memerhatikan segala tindak tanduk kamu!

“Sudah sampai masanya rakyat mengadili Najib dan kerajaan Barisan Nasional. Rakyat adalah hakim negara. Sekiranya Peguam Negara gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendakwa Najib, saya percaya Najib akan ‘didakwa’ di gelanggang mahkamah rakyat dalam pilihanraya umum ke-14. InsyaAllah, Najib dan kerajaan pimpinannya akan diadili dan dijatuhi hukuman yang sewajarnya oleh rakyat nanti,” katanya.

The post Malu bangsa Melayu berketuakan pencuri, perompak: Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Malu bangsa Melayu berketuakan pencuri, perompak: Muhyiddin
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Malu bangsa Melayu berketuakan pencuri, perompak: Muhyiddin"

Back To Top