Gema Semua Maklumat

Manfaatkan Ramadan bentuk peribadi muslim

Manfaatkan Ramadan bentuk peribadi muslim

Kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap Muslim terutamanya generasi muda untuk mengubah sikap, membentuk jatidiri serta kualiti peribadi yang lebih baik, sebagai pemimpin masa depan negara. Antaranya.

Kesedaran Diri (Self Concious): Ibadah puasa mengajar kita akan keikhlasan dan kejujuran kepada diri sendiri. Tiada siapa yang tahu samada seseorang itu berpuasa atau tidak melainkan Allah s.w.t. Ia satu-satunya rukun Islam yang tidak melibatkan pergerakan fizikal atau suara seperti syahadah, solat, zakat dan haji.

Banyak kerosakan dunia hari ini yang disebabkan oleh najis rasuah sebagai contoh adalah disebabkan telah hilang rasa kesedaran diri dalam jiwa umat Islam. Atau dalam ertikata lain, telah luntur rasa takut kepada Allah s.w.t atau sifat taqwa yang merupakan tujuan ibadah puasa itu sendiri.

Disiplin Masa: Sepanjang Ramadan kita dilatih untuk menepati masa tamat bersahur, masa berbuka, selain solat-solat fardhu dan sunat dengan ketetapan masa yang tertentu. Selama sebulan juga kita melazimi kehidupan orang berjaya yang sentiasa bangun awal dan sedikit tidur, tidak kira samada mereka beragama Islam ataupun tidak.

Masyarakat Melayu yang terkenal dengan masalah ketepatan masa, suka bertangguh dan lambat bertindak perlu berubah dengan semangat Ramadan, demi imej agama Islam

Keprihatinan Sejagat: Menyediakan juadah berbuka puasa, bersedekah, membantu fakir miskin dan memberikan sumbangan serta mendoakan umat Islam yang tertindas di seluruh dunia merupakan rutin biasa dalam bulan penuh keberkatan ini.

Kemuliaan bulan ini melenturkan setiap hati untuk menjadi pemurah, sentiasa berfikir untuk membuat kebajikan dan membuang ego serta kebanggaan diri. 

Kebiasaan ini melatih diri kita secara tidak langsung untuk membuang pelbagai sifat negatif seperti hasad dengki, sikap pemarah dan tamak yang menjadi punca kepada banyak konflik dan peperangan dalam dunia hari ini

Jadikan sepanjang tahun anda adalah Ramadan!

 

Ketua Biro Latihan Kepimpinan Isma

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad

 

 

The post Manfaatkan Ramadan bentuk peribadi muslim appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Manfaatkan Ramadan bentuk peribadi muslim
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Manfaatkan Ramadan bentuk peribadi muslim"

Back To Top