KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1438H, Rabu – Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan supaya sukatan pelajaran budi atau bimbingan budaya diwajibkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata, mata pelajaran itu penting sebagai asas pembentukan budaya dan cara hidup rakyat negara ini dalam usaha melahirkan masyarakat yang memiliki ketinggian budaya.
“Selaras dengan Kongres Budaya 2017 baru-baru ini, saya akan menemui Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 15 Jun (Khamis) ini bagi membincangkan sukatan pelajaran budi.
“Kita akan membincangkan skop mata pelajaran ini dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian dan kita mahukan silibus budi ini membentuk jati diri bangsa termasuk budi pekerti, saling hormat-menghormati dan amalan gotong-royong,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa UIAM malam tadi.
Terdahulu, Rais turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 19 kakitangan UIAM yang merupakan golongan asnaf, ibu tunggal dan pesakit kanser sebelum bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di kampus universiti itu.
Rais berkata bantuan itu bagi meringankan beban penerima dalam menyediakan persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam dua minggu lagi. – Bernama
The post Mata pelajaran budi wajib di sekolah, IPT appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mata pelajaran budi wajib di sekolah, IPT
0 Komentar untuk "Mata pelajaran budi wajib di sekolah, IPT"