Gema Semua Maklumat

Menteri sendiri akan siasat kes harumanis dibakar

Menteri sendiri akan siasat kes harumanis dibakar

PUTRAJAYA, 20 Ramadan 1438H, Khamis – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyiasat dakwaan sejumlah besar mangga harumanis dibakar di Perlis, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau sendiri akan menyiasat perkara berkenaan memandangkan isu berkenaan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

“Saya sendiri akan menyiasat perkara ini bahawa adakah benar harumanis ini dibakar disebabkan oleh lambakan atau disebabkan kualiti buah yang tidak memenuhi piawaian.

“Saya tidak begitu jelas mengenai hal ini dan saya akan mendapatkan laporan berhubung perkara tersebut,” katanya kepada media selepas program pengagihan bubur lambuk dan sumbangan asnaf Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di kementerian berkenaan, di sini, semalam.

Pada masa sama, Shabery berkata, pihak kementerian tidak terkejut dengan tindakan segelintir pengusaha terbabit memandangkan permintaan terhadap harumanis menurun ketika bulan puasa.

Menurutnya, pengusaha dan peniaga sepatutnya sudah menjangkakan trend penurunan permintaan terhadap mangga terbabit semasa bulan Ramadan dan sepatutnya merancang beberapa langkah bagi menghadapi situasi terbabit.

“Seharusnya, peniaga sudah melakukan perhitungan (mengenai jumlah harumanis yang perlu dituai) memandangkan bulan puasa tahun ini jatuh pada bulan Mei dan Jun.

“Jadi, pengusaha harumanis boleh mengagak, berapa tan harumanis yang perlu dituai oleh mereka dan hal ini sepatutnya tidak menjadi isu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengusaha mangga itu bahawa mereka bakal menghadapi saingan sengit daripada beberapa buah tempatan, dari segi penentuan harga.

“Mereka terpaksa bersaing dengan buah-buah lain seperti mempelam Siam, mangga dari Pakistan dan India yang mana, kualitinya antara yang terbaik di dunia dengan harga mangga ini separuh harga daripada harga harumanis,” jelasnya.

The post Menteri sendiri akan siasat kes harumanis dibakar appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Menteri sendiri akan siasat kes harumanis dibakar
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Menteri sendiri akan siasat kes harumanis dibakar"

Back To Top