KUALA LUMPUR, 6 Ramadan 1438H, Khamis – Pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan ke Kuala Lumpur yang terpaksa berpatah ke Melbourne pada Rabu kerana seorang penumpang “membuat kacau”, dijadual berlepas dari bandar raya Australia itu pada 8 malam ini waktu tempatan.
Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airlines Berhad berkata penerbangan dikendalikan sebagai MH128D itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 2.35 pagi waktu Malaysia esok.
Sementara itu, penumpang yang amat perlu mengambil penerbangan sambungan diperuntukkan kerusi dalam Penerbangan MH148, yang berlepas dari Melbourne pada 1.55 tengah hari waktu tempatan hari ini.
Menurut kenyataan itu, tiga penerbangan Malaysia Airlines dijadual berlepas dari Melbourne hari ini dan pihak berkuasa keselamatan Australia telah mengimbas semua bagasi.
“Kru teknikal dan kabin Malaysia Airlines yang mengendalikan MH128/31 Mei tidak akan ditugaskan bagi mana-mana penerbangan sehingga diberitahu kelak. Kumpulan kru baharu akan mengendalikan MH128D,” kata kenyataan itu.
“Siasatan (mengenai kejadian pada Rabu itu) diketuai pihak berkuasa Australia sedang dijalankan dan Malaysia Airlines ingin menyampaikan penghargaannya kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dalam keadaan mencemaskan itu,” katanya.
Kru kabin, dengan bantuan seorang penumpang, berjaya menghalang dan menguasai penumpang yang menimbulkan masalah itu sebelum menggarinya.
Penerbangan itu sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 5.28 pagi hari ini. – Bernama
The post MH128D akan berlepas dari Melbourne hari ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di MH128D akan berlepas dari Melbourne hari ini
0 Komentar untuk "MH128D akan berlepas dari Melbourne hari ini"