Gema Semua Maklumat

Perbuatan halau bukan Islam tak wajar: Muhyiddin

Perbuatan halau bukan Islam tak wajar: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1438H, Isnin – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perbuatan sekumpulan individu menghalau Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan rombongan pakatan harapan di bazar Ramadan di bandar Kluang, Johor, Sabtu lalu adalah tidak wajar.

Katanya, walaupun Chin Tong bukan beragama Islam, tetapi tindakan itu tidak sepatutnya berlaku, terutama pada bulan Ramadan dan dilakukan oleh orang Islam.

“Lebih-lebih lagi beliau adalah seorang Ahli Parlimen, yang mana menjadi tanggungjawab beliau untuk mendekati masyarakat di kawasannya, tanpa mengira kaum dan agama.

“Malah, setiap orang yang beragama Islam sepatutnya menampilkan akhlak Islam yang sebenar. Islam tidak mengajar umatnya bertindak kasar kepada sesiapapun,” katanya dalam satu kenyataan mengulas kejadian yang tular di media sosial.

Kejadian itu mendapat kecaman daripada pemimpin pembangkang dan kerajaan.

Menerusi video yang di muat naik dalam media sosial beberapa individu menumbuk, menghalau dan memarahi Chin Tong serta rombongan yang turut disertai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang mengedarkan buah kurma kepada umat Islam di bazar Ramadan itu.

Chin Tong yang juga pengerusi parti rasis dan cauvinis DAP Johor bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol, Tan Hong Tin dan Ketua Bahagian Bersatu Kluang, Radzali Mohd Noor serta beberapa wakil pakatan harapan memasuki kawasan bazar itu yang terletak di Jalan Manggis.

Bagaimanapun, beberapa individu dilihat memarahi dan menghalau rombongan itu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, Islam menuntut umatnya supaya bersikap rahmah atau mengasihi sesiapa sahaja, terutama di kalangan rakyat Malaysia, yang berbilang kaum dan agama.

“Penting untuk kita memupuk semangat perpaduan dan saling hormat menghormati antara sesama insan walaupun berbeza kaum, agama dan fahaman politik. Menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam, sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, polis menangkap dua lelaki selepas mereka datang ke balai polis untuk memberi keterangan berikutan kejadian itu.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan tanpa senjata dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan kemudian dengan jaminan polis.

The post Perbuatan halau bukan Islam tak wajar: Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Perbuatan halau bukan Islam tak wajar: Muhyiddin
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Perbuatan halau bukan Islam tak wajar: Muhyiddin"

Back To Top