JEMPOL, 17 Ramadan 1438H, Isnin – “Saya sangat terkilan sebab tidak sempat tunaikan permintaan ibu bapa saya untuk memiliki kereta Honda”.
Demikian luahan anak kedua Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51, dan isterinya Mas Noraida M Yusoff, 45, yang maut dalam nahas empat kenderaan semalam.
Wan Muhamad Hazim, 19, berkata kematian semua enam anggota keluarganya hanya diketahui pada jam 6 petang tadi selepas dimaklumkan anggota polis di kediaman mereka di Putrajaya.
Empat lagi anggota keluarganya ialah Wan Muhamad Muhaimin, 22, Wan Nor Atirah, 18, Wan Muhamad Amar Haziq, 13, dan Wan Nor Alisha, 7. Semua mereka yang menaiki Proton Exora rentung dalam kejadian itu.
Dalam kejadian jam 2.20 petang semalam, lapan maut, manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi, Toyota Vios, Proton Exora dan sebuah treler di KM25 Jalan Bahau-Keratong, di sini.
Dua mangsa lain yang maut ialah pemandu Perodua Myvi Osman Mohamed Taip, 31 dan isteri Rosniza Othman manakala anak kepada pasangan itu yang belum diketahui identiti mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.
“Anggota polis itu hanya memaklumkan ayah saya terlibat kemalangan dan tidak pula memberitahu mengenai nasib lima lagi anggota keluarga saya.
“Saya tak sangka kejadian ini boleh berlaku,” katanya dalam nada sebak kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol di sini, hari ini.
Katanya, beliau dipelawa dua kali oleh bapanya untuk mengikut menghantar adiknya Wan Nor Atirah ke Kolej Vokasional Kuantan, Pahang untuk menyambung pelajaran.
“Saya jarang mengikuti keluarga kerana saya bekerja. Saya sekarang jadi serba salah kerana tidak mengikut mereka (ke Kuantan),” katanya.
Beliau berkata, semua jenazah akan dibawa pulang ke Jelawat dan Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.
Sementara itu, adik kepada Mas Noraida, Massuhailayante M Yusoff, 43, berkata kali terakhir beliau bertemu kakaknya itu adalah pada Jumaat lepas.
“Ketika itu kami ambil cuti untuk menjaga emak yang sakit di Kelantan. Kami menjaga emak sepanjang Sabtu minggu sudah hingga Jumaat lepas. Sepanjang bersama, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan,” katanya.
Beliau berkata, berita sedih itu hanya diketahuinya pada jam 9.45 malam tadi. – Bernama
The post Anak mangsa nahas terkilan tak sempat tunai hajat ibu bapa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Anak mangsa nahas terkilan tak sempat tunai hajat ibu bapa
0 Komentar untuk "Anak mangsa nahas terkilan tak sempat tunai hajat ibu bapa"