Gema Semua Maklumat

Petani, pengusaha selar dakwaan Harumanis jatuh harga

Petani, pengusaha selar dakwaan Harumanis jatuh harga

KANGAR, 18 Ramadan 1438H, Selasa – Dakwaan harga mangga Harumanis – ikon Perlis – jatuh mendadak ke paras RM10 sekilogram kesan permintaan yang sedikit merosot tahun ini, adalah tidak berasas sama sekali, kata beberapa pengusaha tanaman itu.

Harga biasa mangga itu ialah RM25 sekilogram.

Hakikatnya, rata-rata pengusaha kebun Harumanis secara komersial terkejut dan menyelar laporan berita sebuah akhbar yang tular di laman sosial sejak semalam.

Akhbar berkenaan melaporkan harga dan permintaan terhadap mangga itu yang jatuh mendadak sehingga terpaksa dijual murah serta berlaku lambakan Harumanis di pasaran.

Pengusaha komersial Harumanis Zulkifli Zakaria, 55, berkata permintaan terhadap mangga itu sedikit perlahan sejak dua minggu kebelakangan ini, tetapi harganya masih stabil.

“Tak betul la kalau ada yang jual Harumanis serendah RM10 kerana permintaan berkurangan. Jika diambil kira bermula daripada kos penanaman, pembungkusan dan upah pekerja pun sudah lebih.

“Saya hairan dengan dakwaan mengatakan Harumanis tidak laku. Saya sendiri masih menjual dan memasarkan mangga itu di dalam dan luar Perlis seperti biasa kerana permintaan tidak pernah putus,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurut Zulkifli, Harumanis dari kebunnya di Abi Selatan di sini, juga tidak mengalami masalah serius seperti jangkitan penyakit atau buah masak ranum serta membusuk di pokok.

“Harumanis ini bukan seperti mangga biasa. Proses menanam serta menjaganya perlu dibuat dengan rapi bagi mendapatkan hasil yang berkualiti,” kata beliau yang menjual Harumanis pada harga RM25 sekilogram dan RM21 kepada peniaga.

Pengusaha kebun Harumanis di Beseri di sini, Ruhaida Ramli, 56, turut menafikan berlaku kejatuhan harga Harumanis kerana permintaan masih banyak dari dalam dan luar Perlis.

“Permintaan memang banyak sampai tak menang tangan. Ada yang sanggup datang dari Negeri Sembilan untuk dapatkan Harumanis asli yang segar dari kebun dengan kualiti terbaik.

“Pada awal puasa hari tu sambutan agak perlahan bagi permintaan dari dalam Perlis, namun terus menggalakkan dari pelanggan luar terutama di Kuala Lumpur,” katanya yang mengusahakan kebun Harumanis seluas satu hektar bersama suami dan anak-anak.

Ruhaida berkata, dia mengusahakan kebun mangga itu di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Perlis dengan tanaman sebanyak 160 batang pokok serta menghasilkan kira-kira tujuh tan metrik Harumanis pada musim kali ini.

Ruhaida berkata, beliau menjual Harumanis pada harga RM25 sekilogram, dan turut memproses buah-buah yang kurang menjadi atau bersaiz kecil (subgred) menjadi jus dan jem untuk dijual di bazar Ramadan.

Bagi Zambri Zulkafly, 43, yang berniaga Harumanis sejak tiga tahun lalu berkata, belum pernah terjadi kejatuhan harga mangga ikon Perlis hingga serendah itu, malah ketika ini harganya kekal stabil.

Beliau yang berniaga secara sambilan setiap kali tiba musim Harumanis akan mendapatkan bekalan segar dari ladang yang betul-betul menanam mangga itu dengan rapi serta menjaga kualiti buah yang dihasilkan. – Bernama

The post Petani, pengusaha selar dakwaan Harumanis jatuh harga appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Petani, pengusaha selar dakwaan Harumanis jatuh harga
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Petani, pengusaha selar dakwaan Harumanis jatuh harga"

Back To Top