Gema Semua Maklumat

RCI Forex hanya mahu kekalkan kuasa Najib: Tuan Ibrahim

RCI Forex hanya mahu kekalkan kuasa Najib: Tuan Ibrahim

BANGI, 28 Ramadan 1438H, Jumaat – Di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Forex dilihat hanya menjadi kewajaran untuk mengekalkan kuasa Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan bagaimana RCI Forex ini boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

“Apakah hasil siasatan RCI ini akan dicontohi? Apakah tujuan sebenar RCI ini? Apakah ini untuk menyamakan bahawa di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad juga ada skandal sebesar 1MDB.

“Dan oleh kerana Tun Dr Mahathir terus kekal menjadi PM sehingga 2003, maka ia menjadi satu kewajaran untuk PM Datuk Seri Najib Razak untuk kekal berkuasa di sebalik skandal 1MDB yang memalukan Malaysia di peta dunia?,” katanya mengulas siasatan RCI yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kerugian Forex ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika kerajaan Barisan Nasional benar-benar ikhlas di dalam RCI ini, mereka harus mendedahkan laporan audit 1MDB terlebih dahulu yang telah diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

“Jika tidak, tujuan RCI ini hanya bersifat politik semata-mata kerana UMNO melihat Bersatu sebagai ancaman pada PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara mengklasifikasikan laporan audit 1MDB sebagai rahsia rasmi.

1MDB mencetuskan satu skandal paling besar dalam sejarah Malaysia apabila berbilion-bilion ringgit didakwa hilang di tangan pihak tertentu, dan turut dikatakan dicuri serta digunakan untuk membeli pelbagai aset di Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Keadilan (DoJ) AS dalam saman sivil pelucutan hak terbaharu bulan ini turut, mengaitkan isteri Malaysian Official 1 dengan pembelian barang kemas, termasuk kalung permata berlian, bernilai hampir RM128.29 juta menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB dan melalui akaun Najib.

Menurut saman DOJ itu, kalung berlian berkenaan dibeli pada 2013, hanya sebulan selepas AS$680 juga dipindahkan ke akaun peribadi Najib di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia berkata, wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pula menolak cadangan pembangkang untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan saman sivil terbaharu DoJ itu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Katanya, ini kerana isu berkenaan adalah kesinambungan saman sivil yang lama dan perkara itu pernah dijawab dalam sidang Parlimen yang lalu.

The post RCI Forex hanya mahu kekalkan kuasa Najib: Tuan Ibrahim appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di RCI Forex hanya mahu kekalkan kuasa Najib: Tuan Ibrahim
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "RCI Forex hanya mahu kekalkan kuasa Najib: Tuan Ibrahim"

Back To Top