Gema Semua Maklumat

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sahkan Najib adalah MO1

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sahkan Najib adalah MO1

Adakah zaman sekarang rakyat menghormati pencuri dan perompak?

MASIH lagi dalam mood menyambut Aidilfitri, Pedang tertarik dengan satu berita yang secara tidak langsung – dalam keghairahan untuk membela dan menyerang – Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, mengesahkan Datuk Seri Najib Razak adalah Malaysia Official 1 (MO1).

Ini berdasarkan kepada kenyataan Tengku Sariffuddin yang disiarkan media rasmi kerajaan – Bernama – semalam. ‘Kit Siang harus minta PO1 letak jawatan’. Demikian tajuk berita Bernama yang memetik kenyataan bekas wartawan New Straits Times era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri itu.

Dalam kenyataannya itu, Tengku Sariffuddin antara lain berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya meminta anak beliau Penang Official 1 (PO1) meletak jawatan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

Anak Kit Siang adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menghadapi dua tuduhan rasuah berhubung pertukaran status tanah dari zon pertanian ke kediaman, pembelian beberapa bidang tanah dan sebuah banglo, di bawah harga pasaran.  

Pedang bukanlah hendak membela kedua-dua beranak itu atau parti rasis dan cauvinis yang anti-Islam, DAP. Pedang memang menentang mereka habis-habisan, sebagaimana Pedang menentang parti lain, termasuk sekutu UMNO iaitu MCA, MIC, Gerakan dan SUPP, yang anti-Islam.

 

Tetapi apabila membaca kenyataan Tengku Sariffuddin – kawan Pedang suatu ketika dahulu ketika bertugas di bawah satu bumbung – Pedang berpendapat beliau secara tidak langsung mengesahkan bahawa boss beliau, Najib adalah MO1.

Sebelum ini tiada pengesahan langsung daripada pegawai-pegawai Perdana Menteri bahawa Najib adalah MO1 – walaupun rakyat Malaysia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat – kecuali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang ‘tersalah sebut’ bahawa Najib adalah MO1.

Mungkin Tengku Sariffuddin tidak perasan atau mungkin kerana terlalu ghairah membela bossnya selain niat untuk menyerang Kit Siang dan Tun Dr Mahathir, lalu membuat kenyataan yang boleh dijadikan bayangan bahawa secara tidak langsung beliau mengesahkan Najib adalah MO1.

 

Pedang berpendapat demikian kerana Tengku Sariffuddin merujuk Penang Official 1 (PO1) adalah anak Kit Siang. Dan, sebagaimana umum mengetahui ‘anak Kit Siang PO1’ adalah Guan Eng.

Sekiranya Guan Eng adalah PO1, pentadbir tertinggi eksekutif kerajaan Pulau Pinang , sudah tentu MO1 adalah Najib. yang juga pentadbir tertinggi eksekutif kerajaan Malaysia.

Jika demikianlah keadaannya, maka secara tersurat dan tersirat kenyataan DoJ itu adalah merujuk kepada Najib. DoJ dalam tuntutan saman sivil pelucutan hak terhadap beberapa individu bagi merampas aset yang dipercayai dibeli menggunakan wang dicuri daripada rakyat Malaysia menerusi pemindahan dana syarikat pelaburan negara – 1Malaysia Development Berhad (1MDB), – hanya meletakkan ‘MO1’ adalah antara yang terbabit mencuri dan menyeleweng wang 1MDB.

Malah, dalam tuntutan saman terbaharu mereka, DoJ mendedahkan maklumat dan e-mel mengenai pembelian barang kemas, termasuk permata berlian. Memetik laporan Reuters dan menggunakan tajuk ‘Malaysia’s first lady linked to jewellery worth $30 mn bought with 1MDB funds’, akhbar berbahasa Inggeris India – Hindustan Times – meletakkan nama Rosmah Mansor sebagai wanita pertama Malaysia.

 

Akhbar berkenaan turut meletakkan tajuk kedua iaitu ‘Almost $30 million from the scandal-hit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) was used to buy jewellery for Prime Minister Najib Razak’s wife Rosmah Mansor, according to filings by the US justice department’ (hampir AS$30 juta wang daripada skandal 1MDB, telah diguna untuk membeli barang kemas buat isteri Najib.

Akhbar berkenaan memetik laporan Reuters yang turut menyatakan pembelian itu termasuk, permata merah jambu 22 karat yang dipasang pada rantai leher. Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles, 21 Ramadan lalu tidak menamakan Najib atau Rosmah, sebaliknya menyatakan barang kemas itu dibeli untuk isteri MO1.

Reuters juga melaporkan wang diguna untuk membeli barang kemas itu telah melalui akaun peribadi Najib.

 

Reuters menyebut, menurut saman terbaharu DoJ, kalung berlian berkenaan dibeli pada 2013, hanya sebulan selepas AS$680 juga dipindahkan ke akaun peribadi Najib di Kuala Lumpur, tetapi kerajaan Malaysia berkata, wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Kalung berlian itu dibeli dari Lorraine Schwartz di New York. Saman terbaharu itu turut mendedahkan pesanan Jho Low kepada Schwartz pada Jun 2013 yang menyebut “Need a 18 carrot (carat) pink heart diamond vivid or slightly short of vivid. On diamond necklace urgent”.

Sebulan kemudian Schwartz menunjukkan kalung itu kepada sekumpulan individu, termasuk Rosmah, di atas sebuah kapal layar mewah dan besar di dunia – Topaz – di Monaco. Jho Low menyewa kapal layar berukuran 147 meter itu selama tujuh hari pada awal Julai 2013, kata laporan DoJ.

Rosmah dan Jho Low sekali lai bertemu Schwarts di sebuah hotel di New York pada Sept

 

ember tahun yang sama, ketika Najib berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kalung itu akhirnya diserahkan kepada seorang rakan Rosmah yang tidak dinamakan pada 2014 di Hong Kong, yang kemudian menyerahkan kepada Rosmah di Kuala Lumpur, kata DoJ. Jho Low juga menguruskan pembelian 27 barang kemas lain bernilai RM5.56 juta kepada Rosmah pada 2014.

Berikutan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Rosmah memulangkan semua barang kemas yang didakwa dibeli menggunakan wang rakyat yang dicuri daripada 1MDB.

“Saya ternanti-nanti tindakan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan barangan kemas bernilai RM128 juta kepada kerajaan Malaysia. Barangan kemas itu bukanlah milik peribadi beliau kerana ianya dibeli dengan menggunakan wang 1MDB. Justeru, saya menyeru Datin Seri Rosmah supaya segera berbuat demikian,” kata Muhyiddin.

 

Kata Pedang: Tengku Sariffuddin juga berkata: “Pada zaman ini rakyat tidak menghormati diktator, seperti Dr Mahathir yang sendiri mengakuinya..”. Adakah zaman sekarang rakyat menghormati pencuri dan perompak?

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

 

The post Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sahkan Najib adalah MO1 appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sahkan Najib adalah MO1
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sahkan Najib adalah MO1"

Back To Top