BANGI, 17 Ramadan 1438H, Isnin – Sama ada disengajakan atau kebetulan, sistem hutang dalam Felda menjadikan peneroka ‘hamba’ kepada Felda dan kerajaan, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.
Beliau berkata, keadaan ini kemudiannya dieksploitasi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memeras ugut peneroka supaya mengundi mereka pada pilihan raya.
“Lingkaran ganas (vicious cycle) ini akan pecah hanyalah jika peneroka berani membebaskan diri daripada belenggu hegemoni Umno dan BN,” katanya menulis dalam blog beliau.
Menurut Kadir, ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan Felda, apabila Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP/Felda), bertujuan menghapuskan kemiskinan, keberhutangan dan cengkaman tuan tanah, ceti dan orang tengah ke atas petani miskin.
“Sekarang petani miskin sudah jadi peneroka. Mereka ada tanah dan terlepas daripada cengkaman kemiskinan. Tapi mereka terus berhutang. Malah hutang mereka lebih besar. Kalau dulu mereka berhutang kepada ceti, sekarang mereka berhutang kepada Felda.
“Ada yang sampai RM100,000 atau lebih sedangkan usia mereka sudah lanjut dan hasil ladang tidak banyak mana. Peneroka berhutang hampir RM5 bilion kepada Felda setakat bulan Disember 2015.
“Ini termasuklah pinjaman membeli saham FGV yang jatuh merudum, dana pembukaan tanah, tanam semula, pendidikan tinggi, beli komputer, insentif usahawan dan ubah suai rumah,” katanya.
Hakikatnya, Kadir berkata, insentif yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak umumkan itu sebenarnya ditanggung sendiri oleh peneroka dan oleh pembayar cukai, namun ia akan meringankan sikit beban peneroka yang rata-rata berhutang besar dengan Felda.
The post Sistem Felda jadikan peneroka hamba kerajaan, kata Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Sistem Felda jadikan peneroka hamba kerajaan, kata Kadir Jasin
0 Komentar untuk "Sistem Felda jadikan peneroka hamba kerajaan, kata Kadir Jasin"