Gema Semua Maklumat

Sri Lanka berminat pelajari kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal

Sri Lanka berminat pelajari kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1438H, Jumaat – Sri Lanka berminat mempelajari kepakaran Malaysia dalam bidang pensijilan halal bagi membolehkan negara itu meneroka lebih banyak peluang serta mengembangkan pertumbuhan ekonomi di negara ini, kata Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia, A.J.M Muzammil.

Beliau berkata, industri halal adalah bidang diperlukan Sri Lanka dan Malaysia boleh dijadikan panduan memandangkan pensijilan halal negara ini diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Malaysia mencapai kemajuan dalam industri halal dan kami tidak sabar untuk mempelajarinya kerana rakyat Sri Lanka tidak menyedari dan memahami keuntungan yang boleh diperolehi daripada industri berkenaan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di ibu pejabat agensi berita itu di sini baru-baru ini.

Menceritakan mengenai kejayaan Korea Selatan dan Thailand sebagai dua daripada lima pembekal utama bagi produk halal dunia, duta yang baharu dilantik itu berkata, Sri Lanka menyasarkan mewujudkan industri pasaran halal di negara ini.

“Kedua-dua negara bukan Islam itu berjaya membangunkan pensijilan halal mereka, saya rasa Sri Lanka perlu membangunkan produk atau barang makanan tertentu (terutamanya makanan bukan tradisional) yang diperlukan rakyat Malaysia sekaligus menarik lebih ramai pelancong melawat negara ini,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 54 badan pensijilan dari 32 buah negara dan empat pihak berkuasa daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjaya mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) satu daripadanya ialah Majlis Akreditasi Halal (HAC) Sri Lanka.

HAC turut berdaftar dengan Sistem Pengurusan Pensijilan Halal bersama enam badan pensijilan halal iaitu Jawatankuasa Pusat Islam Thailand; Sijil Halal Agensi Vietnam; Persatuan Halal Jepun; Pusat Pembangunan Perkhidmatan Halal ARA dan Persatuan Islam Shandong, kedua-duanya dari China.

Mengulas mengenai bidang pelancongan, Muzammil berkata, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi jumlah pelancong melawat kedua-dua negara.

Setakat ini katanya, hampir 100,000 pelancong Sri Lanka melawat Malaysia tetapi hanya kira-kira 42,000 rakyat Malaysia melawat Sri Lanka.

“Sekarang sektor pelancongan kita tidak seimbang, justeru promosi perlu ditingkatkan lagi (mungkin) dengan meningkatkan jumlah penerbangan dan menjadi satu destinasi transit pelancong,” katanya.

Mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Sri Lanka yang telah dipersetujui kedua-dua negara, Muzammil berkata, pihaknya masih menunggu jawapan daripada kerajaan Sri Lanka.

“Pasukan rundingan akan ke Malaysia untuk memuktamadkan FTA secepat mungkin dan berharap ia dapat ditandatangani pada Julai atau Ogos tahun ini,” katanya.

Duta itu turut mengalakkan pelabur Malaysia melabur di Sri Lanka dalam sektor infrastruktur (pembangunan jalan dan lebuh raya), pengurusan sisa pepejal serta pembangunan hospital (pusat kesihatan).

Pada mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena semasa lawatan beliau ke Malaysia pada Disember tahun lepas, kedua-dua negara bersetuju kemungkinan untuk memulakan FTA.

Perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah US$570.9 juta pada 2015 memihak kepada Malaysia. Eksport Malaysia ke Sri Lanka pula berjumlah US$481 juta pada 2015 manakala import US$90 juta.

Berdasarkan laporan, Malaysia menduduki tempat kelima dari segi nilai pelaburan asing di Sri Lanka iaitu sebanyak AS$2 bilion sehingga 2015.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula terjalin pada 1957. – Bernama

 

The post Sri Lanka berminat pelajari kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Sri Lanka berminat pelajari kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Sri Lanka berminat pelajari kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal"

Back To Top