SANLIURFA (Turki), 29 Ramadan 1438H, Sabtu – Direktorat Umum Akhbar dan Penerangan Turki berkata lebih banyak negara perlu turut serta membantu pelarian Syria yang kini berlindung di negara itu.
Ketua Pengarahnya, Mehmet Akarca berkata, Turki membelanjakan sehingga US$25 bilion (RM100.7 bilion) untuk membantu 3.05 juta pelarian Syria yang mendapatkan perlindungan di 23 pusat perlindungan sementara dan juga yang berada di luar pusat itu.
Sekalipun masyarakat antarabangsa menyumbang US$256 juta (RM2.5 bilion) kepada Turki bagi membantu mereka, jumlah itu jauh daripada mencukupi.
“Pelarian Syria adalah saudara kami. Kami lakukan yang terbaik dalam memberi perlindungan kepada mereka. Namun Turki tidak harus menangggung beban ini sendirian,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan taklimat kepada pasukan media antarabangsa mengenai situasi pelarian Syria, di sini baru-baru ini.
Turki juga menetapkan penanda aras baharu dalam menyediakan perlindungan kepada pelarian. Mereka yang berada di pusat perlindungan sementara kini tinggal di dalam kontena yang mempunyai bekalan air dan elektrik daripada tenaga solar, bukan lagi khemah.
Lembaga Pengurusan Bencana dan Kecemasan Kementerian Utama Republik Turki (AFAD), agensi yang bertanggungjawab menguruskan pelarian, melaporkan kerajaan membelanjakan sekitar US$5 bilion (RM21 bilion) setahun bagi pelarian yang tinggal di pusat perlindungan dan juga di luar pusat.
Daripada jumlah keseluruhan pelarian, pusat perlindungan sementara menempatkan 247,000 rakyat Syria yang turut menerima perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan dan perlindungan, kata Presiden AFAD Mehmet Halis Bilden, dan menambah setiap keluarga terbabit juga diberikan LT$500 (RM600) sebulan.
Pusat berkenaan turut menyediakan pendidikan kepada 508,846 pelajar Syria dan latihan vokasional untuk 222,869 orang dewasa..
Seorang pelarian Syria di Pusat Perlindungan Sementara Osmaniye, Jamal Walee, 40 berkata dia mahu menetap dan bekerja di Turki memandangkan rakyat negara itu telah menerima dia dan keluarganya dengan hati terbuka.
“Rumah saya dibom, saya tidak mahu kembali ke Syria,” kata bapa empat anak itu.
Seorang lagi pelarian, Abir Durmush, 42 berkata dia mahu tinggal di pusat itu dan berharap suaminya dapat mencari pekerjaan agar mereka boleh terus menetap di Turki.
Sementara itu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mahu rakyat Turki meneruskan usaha mulia mereka membantu pelarian Syria dan menunjukkan tauladan yang baik kepada dunia.
Beliau memuji semangat persaudaraan rakyat Turki dalam menerima tetangga mereka dari Syria itu selepas tercetus perang saudara di negara berkenaan pada 2011.
“Saya berterima kasih kepada anda. Kalian mempunyai hati yang baik kerana membantu pelarian,” katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa khas, di sini pada Jumaat malam.- Bernama
The post Turki mahu negara lain turut bantu urus pelarian appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Turki mahu negara lain turut bantu urus pelarian
0 Komentar untuk "Turki mahu negara lain turut bantu urus pelarian"